Kanak-kanak orang asli suku Temuan mengulang kaji pelajaran di hadapan rumahnya dengan mengambil kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Orang Asli Bukit Bandaraya, Seksyen 8, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 14 JUN 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Negara hari diberitahu kualiti pendidikan murid Orang Asli di seluruh negara sentiasa ditingkatkan.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, pihaknya melaksanakan Inisiatif Transformasi Pendidikan Orang Asli dan Peribumi dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi memastikan murid Orang Asli mendapat pendidikan berkualiti serta relevan dengan keperluan mereka.

Untuk itu, katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) telah memperuntukkan sejumlah RM445,000 di bawah inisiatif berkenaan untuk tahun ini.

“Sebanyak RM895,000 pula diperuntukan untuk tahun depan bagi inisiatiif program transformasi ini.

“Selain itu, pelbagai program telah dilaksanakan bawah PPPM, antaranya, Program Intervensi Murid Orang Asli dan Peribumi (PIKAP).

“PIKAP ini melibatkan tiga mata pelajaran utama di Tahap 1, iaitu Bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Matematik yang mengandungi modul pembelajaran disesuaikan dengan konteks persekitaran untuk meningkatkan minat murid Orang Asli dan Peribumi kepada pembelajaran serta hadir ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Ajis Sitin di sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Dalam soalan itu, Ajis meminta KPM menyatakan secara terperinci peranan dan strategi kementerian dalam memberikan pendidikan kepada masyarakat Orang Asli di sekolah kawasan pedalaman berikutan timbul rungutan dari segi penyesuaian.

Menurut Mohamad lagi, KPM turut memperkenalkan Program Jom Belajar yang merangkumi Program Khas Murid Orang Asli (Prokhas) dan Chup Badui Sikulah (CBS) pada 2020.

Program itu untuk menyediakan pendidikan asas serta memantapkan penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) kepada murid Orang Asli yang tidak pernah bersekolah.

KPM juga, katanya, menubuhkan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) yang melibatkan murid Tahun Satu hingga Tingkatan Tiga di sekolah sama.

“Sehingga kini, jumlah Sekolah K9 yang sedang beroperasi sebanyak sembilan dan KPM juga merancang untuk menaik taraf sekolah komprehensif K9 untuk menjadi Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11).

“Pewujudan Sekolah K11 akan membolehkan murid mengikuti pendidikan selama sebelas tahun, iaitu enam tahun di peringkat rendah dan lima tahun di peringkat menengah dalam sekolah dan pentadbiran yang sama,” katanya.

Di samping itu, menurut Mohamad, KPM turut menyediakan asrama di 45 sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah yang mempunyai enrolmen 100 peratus murid Orang Asli.

Katanya, terdapat juga murid Orang Asli tinggal di asrama sekolah harian dengan penyediaan bagi memudahkan mereka hadir ke sekolah.

“KPM mengambil pelbagai pendekatan melalui sesi libat urus dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), penglibatan ibu bapa, ketua komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Tok Batin bagi memberikan kesedaran pentingnya pendidikan kepada masyarakat Orang Asli.

“Kita sentiasa komited untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette