Rosmah Mansor can I advise you something Najib Razak audio recording solar hybrid project corruption trial
Datin Seri Rosmah Mansor, wife of former Prime Minister Datuk Seri Najib Razak arrives at the Kuala Lumpur Court Complex for her solar hybrid project corruption trial. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 13 DECEMBER 2021. Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya di tolak hari ini.

Untuk makluman, Mohamed Zaini juga merupakan hakim bicara kes yang sedang dihadapi isteri bekas perdana menteri itu yang ketika ini dalam peringkat pembelaan berkaitan projek sistem tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak berjumlah RM1.25 bilion.

Mohamed Zaini hari ini menolak permohonan Rosmah untuk dirinya menarik diri sebaliknya akan kekal sebagai hakim perbicaraan dalam kes AMLA dan LHDN yang bernilai RM7 juta.

Kata Mohamed Zaini, seorang hakim mempertimbangkan semua keterangan tertuduh secara bebas dan berasingan.

“Semua ketetapan yang telah dibuat oleh saya dalam kes solar hibrid kekal.

“Dalam keputusan kes Mahkamah Persekutuan baru-baru ini telah memutuskan seorang hakim tidak seperti juri akan dilantik dalam undang-undang bagi memastikan tidak ada sikap berat sebelah walaupun membaca fakta kes.

“Saya tolak permohonan ini,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Rosmah pada 2 November lalu melalui Tetuan Geethan Ram pada 2 November lalu, turut memohon perintah bahawa lanjutan daripada penarikan Mohamed Zaini, kes itu akan ditetapkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi lain.

Dalam permohonan itu, dakwa Rosmah, Mohamed Zaini ketika ini sedang mendengar perbicaraan kes solar yang dihadapinya dan hakim berkenaan memutuskan bahawa kes prima facie telah terbukti dan beliau sedang membela diri.

Dakwanya keterangan dan eksibit telah dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan kes itu yang ia secara langsung atau tidak langsung boleh mempengaruhi Mohamed Zaini sekiranya hakim berkenaan mendengar kes AMLA berkenaan.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama. -MalaysiaGazette