MELAKA – Enam individu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik dan memukul pasangan suami isteri kerana telah menipu mereka sehingga mengalami kerugian RM9.5 juta pada 8 Disember lalu.

Tertuduh, Hoe Chern Wei, 29, Fong Chong Yong, 25, Seow Kwee Chiew, 50, Chong Siow Chiew, 46, Kua Siew Mei, 37, dan Siah Soon Siong, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Ayer Keroh di sini hari ini.

Mereka yang diwakili peguam JJ Lee membuat pengakuan itu sebaik empat pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan satu dan dua, kesemua tertuduh secara bersama didakwa telah melarikan Choo Eng Hong, 27, dan isterinya Lee Chen Hwee, 33, dengan niat dikurung secara rahsia dan salah.

Tindakan itu dilakukan tertuduh antara jam 2 hingga 3 petang di hadapan rumah bernombor 9, Jalan Murni 4, Taman Malim Jaya, 8 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan didenda, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan tiga dan empat, mereka berdepan dakwaan memukul pasangan muda itu menggunakan sebatang kayu sehingga menyebabkan kecederaan pada 8 Disember lalu.

Kejadian berlaku di belakang sebuah bengkel bernombor 30, Jalan Suria 1, Taman Malim Jaya pada jam 11 malam hari sama sehingga jam 8 pagi keesokan harinya yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripadanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin.

Dalam rayuannya, kesemua tertuduh memohon diberikan jaminan dengan alasan mempunyai keluarga dan pekerjaan di negeri ini, malah mendakwa masih menanggung hutang selepas ditipu pasangan itu dalam pelaburan membabitkan kerugian RM9.5 juta.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 18 Januari depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette