KLANG – Berselindung di sebalik rumah berkembar di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, kegiatan memproses daun ketum yang dijalankan sejak enam bulan lalu akhirnya berjaya dihidu pihak berkuasa.
Polis kemudiannya menahan empat lelaki dalam satu serbuan pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, ketika serbuan, kesemua suspek sedang leka memproses air ketum.
Dalam serbuan sama, polis merampas daun ketum seberat 20 kilogram (kg), 600 liter air ketum dan 648 botol ubat batuk berjenama dengan nilai keseluruhan berjumlah RM12,000.
“Hasil serbuan pada 12 Disember lalu, jam antara 12.10 tengah malam hingga 2 pagi itu, pihak polis berjaya membongkar satu stor dan tempat memproses Mitragynine (ketum) di sebuah rumah jenis berkembar di Kampung Perigi Nenas, Pulau Indah.
“Sejumlah cecair disyaki ketum telah siap dibungkus dalam 400 botol plastik di mana setiap satu dengan isipadu 1.5 liter, daun ketum seberat 20 kg dan sejumlah cecair disyaki kodien (ubat batuk) berjumlah 583.20 liter dirampas.
“Turut ditemui peralatan memproses cecair ketum serta wang tunai RM250 disyaki hasil jualan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan hari ini.
Kata Hoong Fong, ujian air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek yang adalah negatif dadah dan kini direman sehingga 15 Disember ini untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 15 Disember ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.
Dalam pada itu, Hoong Fong berkata, daripada empat suspek itu, salah seorang mempunyai satu rekod lampau.
“Keempat-empat suspek tidak mempunyai hubungan keluarga namun hanya rakan sejenayah sahaja,” jelasnya.
Ditanya tentang bekalan daun ketum terlibat, Hoong Fong berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan tentang lokasi dan pihak mana mereka memperoleh bahan mentah dadah tersebut.
“Kesemua air ketum itu untuk pasaran di Klang dengan nilai jualan setiap botol berharga RM15 manakala ubat batuk pula berharga RM10.
“Kami percaya daun ketum ini dari kawasan Klang dan kami masih dalam proses siasat untuk mencari tempat mana mereka mendapat bekalan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette