MAHARASHTRA, INDIA – Seorang gadis bawah umur berusia 16 tahun melalui detik hitam apabila telah dirogol oleh 400 lelaki selama enam bulan lalu sejak Jun 2021.
Insiden penuh menyayat hati itu berlaku di daerah Beed, Maharashtra.
Lebih menyedihkan wanita itu turut dicabul secara seksual oleh anggota polis ketika mangsa tampil ke balai polis untuk membuat laporan polis.
Kini gadis itu dilaporkan sedang hamil dua bulan.
Selepas membuat laporan polis, kes didaftarkan dan kertas siastan telah dibuka di bawah Akta Pencegahan Perkahwinan Kanak-Kanak, Akta Perlindungan Kanak-Kanak, Jenayah Seksual, dan Seksyen Rogol dan Cabul di bawah Kanun Keseksaan India.
Pada hujung November lalu, Superintendan Raja Ramasamy berkata, tiga lelaki disyaki suspek dalam kes jenayah tersebut telah diberkas polis bagi membantu siasatan.
Berdasarkan aduan gadis itu, dia telah kehilangan ibunya sejak beberapa tahun yang lalu sebelum bapanya mengahwinkan mangsa pada Mac lalu.
Bagaimanapun, gadis itu menjadi mangsa penderaan oleh keluarga mertua dan juga suaminya sebelum mangsa melarikan diri daripada keluarga itu dan kembali ke pangkuan bapanya.
Namun, bapanya tidak mahu menerima mangsa lalu menghalaunya dari rumah sebelum mangsa mengemis di kawasan stesen terminal bas di daerah Beed.
Di situlah kanak-kanak itu mula terdedah dengan gangguan dan serangan seksual.
Dalam kenyataan kepada jawatankuasa kebajikan kanak-kanak, gadis itu mendakwa dia didera secara fizikal oleh ramai orang sebelum tampil ke balai polis beberapa kali untuk mengadu mengenai tragedi yang menimpa dirinya.
“Namun polis juga berkelakuan tidak senonoh terhadap saya selain tidak mengambil sebarang tindakan ke atas penjenayah rogol, selain dicabul oleh anggota polis,”keluhnya.
Selepas berita itu terbongkar, polis telah memfailkan siasatan dan tiga suspek telah ditangkap serta sedang disiasat manakala suspek-suspek lain sedang diburu.- India Today.In