Radzi Md Jidin RMT Supplementary Food Programme white rice with gravy
Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Sekolah yang mengalami masalah pendawaian elektrik terlalu lama akan diberi perhatian oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk dilaksanakan pendawaian baharu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Radzi Md. Jidin yang menjelaskan, masalah itu memang dalam perhatian KPM dan akan dilaksanakan segera.

“Berkenaan pendawaian lama ini, kita tidak nafikan memang terdapat sekolah-sekolah yang pendawaiannya terlalu lama sehingga tidak mampu menampung penggunaan bekalan elektrik.

“Kita sebenarnya memberi keutamaan kepada sekolah-sekolah ini, iaitu dalam konteks pendawaian semula,” katanya menjawab soalan tambahan M. Karupaiya (PH-Padang Serai) dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di sidang Parlimen pagi ini.

Berhubung soalan Yusuf Abd. Wahab (GPS-Tanjong Manis),  Radzi berkata, kementeriannya komited memastikan sekolah di luar bandar termasuk di Sarawak mendapat akses bekalan elektrik.

Katanya, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Sarawak dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengenal pasti sekolah yang boleh disambungkan ke talian grid untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semop, jelas beliau, merupakan sebuah sekolah yang telah dikenal pasti terletak berhampiran dengan talian grid elektrik dan kerja penyambungan sedang dilaksanakan JKR yang dijangka selesai Mac 2022.

Mengenai kekurangan bilik darjah, bilik asrama dan keperluan dewan perhimpunan, kerajaan Persekutuan telah meluluskan permohonan pembinaan tambahan 12 bilik darjah dan lain kemudahan di sekolah itu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). – MalaysiaGazette