Miro Simuh

BAU – Kepentingan membangunkan kebolehpasaran golongan belia menjadi antara agenda utama calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Miro Simuh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Berasal dari Kampung Kandis Baru, beliau berkata beberapa program telah dirancang bagi meningkatkan penglibatan golongan itu dalam bidang kemahiran, sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan sebenar.

“Kita harus sediakan golongan belia berumur 18 hingga 20 tahun dengan rancangan untuk mereka memasuki pasaran kerja dalam dua hingga tiga tahun seterusnya, terutama mereka yang terkandas di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka ini belum lagi layak untuk memasuki alam pekerjaan.

“Contohnya kita masukkan mereka ini ke pusat latihan dan berikan skil serta kursus tertentu sebelum mereka bekerja, seperti kursus, wiring, pertanian dan mekanikal. Jadi mereka boleh guna pakai skil itu semasa bekerja nanti,” katanya ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini.

Selain itu, Miro, 49, yang juga Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata aspek ekonomi digital perlu diperluas lagi, bersesuaian dengan situasi semasa pandemik COVID-19 yang membuktikan konsep e-dagang menjadi keperluan masa kini.

Oleh itu, anak Bidayuh Serembu itu berkata capaian Internet di kawasan Serembu perlu dinaik taraf untuk memudahkan penduduknya menjalani perniagaan dalam talian.

“Konsep ekonomi digital yang dibawa (kerajaan) negeri Sarawak ini bertepatan apabila COVID-19 melanda, semua aktiviti jualan dibuat secara dalam talian. Dulu ia (ekonomi digital) diperlekehkan… namun apabila disebabkan pandemik ini, platform dalam talian kini menjadi kaedah penting untuk berniaga.

“Jadi saya lihat kita harus perluaskan lagi konsep digital e-marketing untuk memberikan kemudahan yang lebih luas kepada rakyat kita untuk berniaga,” katanya.

Mengenai pembangunan infrastruktur di DUN itu, beliau berkata fokus dan bantuan peruntukan kini akan terarah kepada pembinaan jalan serta penempatan baharu memandangkan bekalan elektrik dan air di kawasan itu sudah mencapai 100 peratus.

Selain Miro, kerusi DUN Serembu menjadi rebutan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Iana Akam, Michael Saweng (PKR), Buln Patrick Ribos (Parti Aspirasi Rakyat Sarawak) dan Dr Jecky Misieng daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Pada PRN11, Miro menang dengan majoriti 1,397 undi menewaskan tiga lagi pencabar iaitu calon Bebas, Datuk Nyomek Anak Nyeap, Athina Klaywa Sim (PKR) dan Buln Patrick Ribos (Parti Reformasi Negeri).- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast