Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad membuat pembentangan Buku Belanjawan 2022 di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 DISEMBER 2021.

IPOH – Kerajaan Perak sedia untuk mengkaji serta meneroka potensi lombong-lombong yang terbiar dengan mengambil kira keadaan geografi dan kepentingan kawasan tersebut agar aktiviti yang dirancang tidak mendatangkan implikasi negatif kepada masyarakat setempat.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, usaha itu bergantung kepada ulasan terperinci daripada jabatan teknikal berkaitan.

“Ia juga perlu mengambil kira lombong-lombong terbiar yang berpotensi boleh dimajukan sebagai kawasan ternakan akuakultur, rekreasi dan eko-pelancongan bagi menjana sumber pendapatan serta ekonomi penduduk tempatan.

“Namun, semua cadangan ini adalah tertakluk kepada sama ada lombong-lombong tersebut akan diwartakan sebagai kolam takungan air di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara atau pun tidak,” katanya ketika sesi soalan lisan pada Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Asmuni Awi (PH-Manjoi) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan kerajaan negeri mempunyai perancangan ataupun blueprint untuk memajukan lombong-lombong di Manjoi khususnya dalam bidang pertanian atau perikanan.

Saarani menambah terdapat juga cadangan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mewartakan tanah-tanah Kerajaan Negeri yang telah dikenal pasti bersesuaian untuk dirizabkan sebagai kolam takungan air di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara.

Sehubungan itu, jelas beliau, kerajaan negeri secara dasarnya menyambut baik dan komited untuk melaksanakan cadangan tersebut.

“Kerajaan Negeri juga memahami hasrat Yang Berhormat Manjoi untuk membangunkan kawasan-kawasan lombong terbiar di kawasan Manjoi supaya lebih ekonomik serta berdaya maju dan seterusnya mampu untuk meningkatkan pendapatan penduduk setempat,” katanya. – MalaysiaGazette