Siti Zailah Mohd Yusoff KPWKM unnatural sex women family children rape incest
Siti Zailah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara negeri tertinggi merekodkan kes seks luar tabii melibatkan mangsa umur 18 tahun.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, mengikut statistik polis, dari 2019 hingga November lalu, sebanyak 287 kes direkodkan iaitu Selangor 94 kes dan Kuala Lumpur 39 kes.

Kata beliau, kes bagi negeri lain dalam tempoh itu ialah Johor 37 kes, Sabah (18) Sarawak (17), Pahang dan Perak masing-masing 16 kes, Kedah (13), Pulau Pinang (12), Terengganu (sembilan), Negeri Sembilan dan Melaka masing-masing lapan kes, Kelantan (enam) dan Perlis (empat).

“Antara umur yang terlibat dalam kes ini ialah di bawah 16 tahun seramai 208 orang, usia 16 hingga 18 tahun pula 82 orang dengan dengan 114 lelaki dan 176 perempuan,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di sidang Parlimen, pagi ini.

Menurut Sit Zailah, kementeriannya sentiasa memandang serius isu kepincangan seksual di kalangan masyarakat terutama dalam golongan kanak-kanak dan wanita.

Kata beliau, kes rogol bawah umur dan sumbang mahram adalah jenayah seksual yang berat dan memerlukan inisiatif pelbagai pihak untuk sama-sama membanteras isu itu.

“Jadi, saya mengharapkan kerjasama dari pelbagai pihak, selain beberapa pelan strategik jangka panjang telah dibangunkan untuk mengatasi isu ini.

“Antaranya ialah dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reprodutif dan Sosial (Pekerti) yang bermatlamat meningkatkan kesedaran semua pihak termasuk wanita, keluarga dan kanak-kanak,” katanya. – MalaysiaGazette