Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang memerlukan pekerja asing sebagai pembantu rumah tidak perlu menggunakan khidmat ejen, sebaliknya boleh berurusan sendiri di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kerajaan tidak pernah mewajibkan untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah warga asing perlu melalui ejen dan membayar RM20,000 hingga RM30,000.

“Saya minta seluruh rakyat Malaysia yang mendengar ucapan saya ini dan apa yang saya jawab mengenai pengambilan khidmat pekerja warga asing terutama pembantu rumah, kalau boleh tidak payah gunakan ejen.

“Mereka boleh buat permohonan mendapatkan khidmat pekerja itu secara atas talian atau ke Jabatan Imigresen.

“Di situ mereka tak perlu bayar apa-apa, hanya bayar fee untuk mendapatkan pas lawatan kerja sementara bagi mengesahkan pekerja itu bekerja dalam negara. Kosnya sangat minimum,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan pindaan RUU Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran di Parlimen, petang ini.

Beliau berkata demikian, selepas mendengar hujahan beberapa Ahli Parlimen yang membangkitkan isu ejen yang mengenakan bayaran sehingga RM30,000 hanya untuk mendapatkan khidmat seorang pembantu rumah.

Kata Hamzah, sebenarnya bukan sekarang mana-mana majikan yang memerlukan khidmat pembantu rumah perlu mendapatkannya dari ejen, sebelum ini pun tidak ada peraturan itu.

“Kenapa rakyat Malaysia mesti membayar begitu besar sekali? Ini yang menjadi masalahnya. Bila perlukan khidmat pekerja, kena melalui ejen dan bayar sampai RM20,000. Sebab itu ejen begitu lemak.

“Sebelum ini, dalam tempoh 15 tahun dahulu hanya RM1,500, naik kepada RM5,000, kemudian RM10,000 dan akhir-akhir ini saya difahamkan sehingga RM20,000,” katanya.

Justeru, kata beliau, pindaan RUU itu adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bebas daripada hamba abdi.

Katanya, beliau dan pegawainya di KDN sedang memikirkan bagaimana caranya untuk memastikan masalah ejen ini dapat diselesaikan. – MalaysiaGazette