IPOH – Kerajaan Perak melalui Akaun Amanah Tabung Bencana Dan Bantuan Sosial Negeri memperuntukkan bantuan sebanyak RM300 kepada setiap keluarga yang berpindah ke Pusat Pemindahan Bencana.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi keluarga yang tidak berpindah atau berpindah ke lokasi selain dari Pusat Pemindahan juga layak menerima bantuan pada kadar RM300.
Namun jelas beliau, pemberian bantuan itu bersyarat apabila ketua keluarga perlu didaftar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setelah mendapat pengesahan Penghulu Mukim dan mendapat kelulusan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Dan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD) atau Jawatankuasa Pengurusan Dan Bantuan Bencana Negeri (JPBBN).
“Bagi kediaman yang musnah atau rosak akibat bencana, kerajaan negeri memberikan bantuan RM2,000 bagi rumah yang musnah keseluruhannya, RM500 hingga RM800 bagi kerosakan kemudahan asas rumah dan RM200 bagi kerosakan perkakasan rumah.
“Bantuan ini diberikan setelah mendapat pengesahan Penghulu Mukim dan mendapat kelulusan JPBBD atau JPBBN,” katanya ketika sesi soalan lisan pada Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd. Zaidi Aziz (BN-Slim) yang ingin mengetahui kadar Bantuan Wang Ihsan Akibat Kejadian Bencana Negeri Perak.
Saarani menambah, setiap agensi yang memainkan peranan dan tanggungjawab dalam pengurusan bencana adalah tertakluk kepada Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.
Kata beliau, tempoh bantuan yang akan disalurkan bergantung kepada Prosedur Tetap Operasi (PTO) setiap agensi dan lokasi kejadian.
Ujarnya, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bersama-sama ahli mesyuaratnya akan menilai dan menyalurkan bantuan yang bersesuaian seperti digariskan oleh agensi-agensi yang berkaitan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
Sebagai contoh, bantuan yang diberikan kepada mangsa bencana oleh JKM adalah meliputi Bantuan Pusat Penempatan Sementara (PPS) bagi mangsa yang memerlukan tempat perlindungan sementara dan serta merta.
“Selain itu, turut disediakan bantuan peralatan dan keperluan asas seperti tempat tidur, peralatan kebersihan diri seperti sabun mandi, berus gigi, ubat gigi, dan pakaian.
“Bagi mangsa yang berada di PPS, keperluan makan minum akan disediakan sepanjang PPS beroperasi,” katanya.
Saarani memberitahu, bantuan turut melibatkan Bantuan Pemulihan berbentuk kewangan selepas bencana yang bertujuan untuk membantu meringankan beban kepada mangsa dan bukan bertujuan membayar ganti rugi bagi kerosakan atau kerugian yang dialami.
Menurutnya, kadar yang layak dipertimbangkan bergantung kepada tahap kerosakan sesebuah kediaman, selain bantuan pakaian, pakaian sekolah, keperluan barangan dapur dan bantuan keluarga mengikut bilangan isi rumah dengan kadar maksimum keseluruhan bantuan RM3,000.
“Bantuan lain adalah khidmat kaunseling dan psikologi sebagai bantuan sokongan emosi mangsa bencana untuk meneruskan kehidupan selepas bencana.
“Tidak dilupakan, bantuan yang diberikan adalah bantuan one off dan diberikan dengan kadar yang segera bergantung kepada situasi bencana.
“Bagi permohonan Bantuan Pemulihan, pihak JKM akan membuat siasatan dan memproses permohonan dengan kadar yang segera setelah menerima permohonan daripada mangsa.
“Dokumen sokongan yang perlu disertakan merangkumi salinan kad pengenalan pemohon dan ahli isi rumah, laporan polis berhubung kejadian bencana dan gambar yang berkaitan sebagai bukti,” katanya. – MalaysiaGazette