Abd Rahman (tiga dari kiri) menerima sumbangan daripada Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah yang juga Penasihat Menteri Besar Johor, Datuk Tee Siew Kiong di Pontian,Johor hari ini.

PONTIAN – Impiannya mhu pergi Legoland tapi ayahnya tidak mampu.

Itu  antara impian kanak-kanak berusia sembilan tahun yang menghidapi penyakit jantung terbalik, Muhammad Adam Amsyar.

Bagaimanapun bagi bapanya, Abd Rahman Ahmad, 47, impian anaknya itu mustahil dipenuhi memandangkan dia tidak lagi bekerja tetap dan terpaksa memberi perhatian penuh menjaga Muhammad Adam.

Lagi pun, beliau terpaksa berbuat demikian selepas kematian isterinya, Rafeah Tohak.

“Sebagai bapa saya tersentuh tetapi apa saya mampu buat kerana keadaan tidak mengizinkan,” katanya ketika ditemui di  Kampung Parit Haji Ahmad hari ini.

Mohd Adam Amsyar disahkan menghidap penyakit jantung terbalik pada usianya tujuh tahun selepas kerap mengalami sesak nafas, bengkak di bahagian muka dan tubuh badannya menjadi kebiruan.

Katanya, Adam yang merupakan anak bongsu dari dua beradik kini bergantung kepada ubat khas dan perlu meminum susu formula.

“Kekangan kewangan ditambah lagi dengan kerja yang tidak menentu menyebabkan saya tidak  mampu membeli susu formula khas berharga RM150 setin untuk Adam. Sebanyak empat tin diperlukan untuk sebulan.

“Selepas isteri meninggal dunia akibat kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang, saya hanya dapat ambil upah memandu lori ayam dari Pontian ke Johor Bahru, sekali seminggu.

“Jika dahulu ada isteri, saya tidak risau tinggalkan Adam dan kakaknya Irin Nadiya berusia 11 tahun tetapi sekarang, saya cukup risau tinggalkan mereka di rumah,” katanya.

Menurut Abd Rahman, meskipun menerima bantuan asnaf Baitulmal sebanyak RM550 sebulan, dia tidak mahu berpeluk tubuh.

Sebaliknya beliau gigih melakukan pekerjaan sampingan seperti mengambil upah memotong rumput di sekitar kampung.

Namun lebih memilukan apabila beliau dimaklumkan oleh doktor yang jangka hayat Adam mungkin tidak panjang.

“Sedihla, dia anak kita, tahu-tahu dia meninggal boleh gila tau. Harapan saya dapat menjaga dia tetapi masalahnya tiada ubat, kalau janttung berlubang boleh diubat tetapi ini jantung terbalik memang tidak boleh.

“Kalau ikut jangka hayat dia memang tidak boleh bertahan lama sikit tetapi tidak mengapa, janji saya dapat jaga hingga akhir hayat, itu yang saya mahu.

“Adam kerap sesak nafas dan kemudian tubuhnya kebiruaan. Saya kena sentiasa berada di sisinya. Setakat ini, belum ada sebarang pembedahan yang dicadangkan ke atas Adam untuk ubati penyakitnya itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah yang juga Penasihat Menteri Besar Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, bantuan sebanyak RM 5,000 disalurkan kepada Adam bagi keperluan pembelian susu formula khas bagi tempoh setahun.

Yayasan juga menyampaikan bantuan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan sebagainya bagi meringankan beban dan memberikan keceriaan kepada keluarga Abd Rahman.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi terus Abd Rahman Ahmad di talian 013-5453175.-MalaysiaGazette