DUN Satok menyaksikan perlawanan tiga penjuru melibatkan Ibrahim, Awang Badele Awang Ali daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Datuk Dr Nor Irwan Ahmad Nor daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok meskipun meletakkan calon muka baharu di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 bagi menggantikan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Perkara itu disuarakan oleh penganalisis politik Dr Ammar Redza Ahmad Rizal yang berpandangan rakyat akan mengundi calon GPS kerana mereka melihat gabungan tersebut lebih mampu melaksanakan inisiatif ke arah pembangunan, pemulihan dan kestabilan ekonomi negeri pasca pandemik COVID-19.

Justeru, Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata calon GPS DUN Satok Datuk Ibrahim Baki, yang merupakan orang kepercayaan Abang Johari, tidak akan berdepan laluan sukar kerana kawasan itu pernah dipegang oleh Abang Johari selama sembilan penggal sebelum beralih angin dan bertanding di DUN Gedong pada PRN kali ini.

“Cuma apa yang perlu diperhatikan adalah dari sudut bilangan penduduk yang akan keluar mengundi. Peratusan mengundi sebelum ini ialah 65 peratus namun pandemik COVID-19 mungkin mengakibatkan peratusan mengundi itu rendah berbanding PRN lepas. Majoriti pun tak akan sebanyak Abang Jo dulu.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna Ibrahim akan berdepan laluan yang sukar kerana rakyat memilih berdasarkan parti dan parti komponen berbanding calon,” katanya kepada Bernama.

DUN Satok menyaksikan perlawanan tiga penjuru melibatkan Ibrahim, Awang Badele Awang Ali daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Datuk Dr Nor Irwan Ahmad Nor daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau juga berkata memandangkan DUN itu terletak di tengah-tengah Bandaraya Kuching, aspek yang perlu calon fokuskan untuk menambat hati pengundi ialah agenda pemerkasaan ekonomi digital serta peluang pekerjaan kepada golongan belia.

Bersesuaian dengan kesukaran mendapat pekerjaan susulan pandemik, Ammar Redza berkata calon yang bertanding perlu bijak mengupas topik berkenaan.

Seorang lagi penganalisis politik Mohamad Fairuz Ali berkata antara fokus lain pengundi Satok ialah inisiatif menjadikan ia sebagai kawasan pembangunan mapan selari dengan usaha pendigitalan ekonomi oleh kerajaan negeri.

“Bagi saya, kawasan Satok memang sudah ke arah pembangunan. Kini mereka perlu mempunyai pelan pembangunan mapan kerana Satok adalah antara segi tiga emas di Kuching. Ada pasar, pusat komersial dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut berpandangan pengundi kawasan itu akan cenderung memilih GPS kerana mempercayai kestabilan parti itu untuk terus menerajui kerajaan negeri tanpa mengambil kira calon muka baharu atau lama.

Pada PRN ke-11, kerusi DUN itu dimenangi Abang Johari selepas beliau mengalahkan Mohamed Salleh Shawkatali (PKR) dengan undi majoriti 5,045.- BERNAMA