Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengambil langkah termasuk meneliti dan mengkaji cadangan supaya menaikkan umur minimum perkahwinan bagi perempuan beragama Islam daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, kajian itu termasuk membentangkan cadangan berkenaan dalam pelbagai forum melibatkan kerajaan negeri.

Katanya, antara forum yang diadakan ialah majlis dialog undang-undang dan persidangan penyelarasan undang-undang syarak serta sivil.

“Bagaimanapun, kuasa perundangan berkaitan perkahwinan orang Islam merupakan bidang kuasa negeri-negeri.

“Berdasarkan maklum balas dan pandangan diterima, kebanyakan negeri pada dasarnya bersetuju untuk mengekalkan had umur sedia ada sebagaimana termaktub dalam undang-undang keluarga Islam di negeri masing-masing,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen, pagi ini.

Beliau menjawab soalan P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan, yang meminta Perdana Menteri menyatakan usaha kerajaan untuk meningkatkan umur perkahwinan kepada 18 tahun dan langkah lain bagi membanteras perkahwinan bawah umur.

Menurut Idris, selepas mengambil kira maklum balas pandangan dari negeri, kerajaan melalui Mesyuarat Sekretariat Dasar Perundangan Syariah Jakim 2021 pada 22 September lalu berpendirian bahawa tiada keperluan untuk meminda had umur minimum perkahwinan bagi perempuan beragama Islam.

Namun, pada masa sama katanya, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengambil langkah memastikan pihak yang memohon untuk berkahwin di bawah umur melalui satu proses penilaian ketat bagi memastikan kepentingan semua pihak terlibat dipelihara.

Kata beliau, JKSM telah mengeluarkan SOP permohonan perkahwinan bawah umur melalui surat pekeliling Ketua Pengarah, Ketua Hakim Syarie JKSM 2018 yang berkuatkuasa pada 28 September tahun itu.

Menurut Idris, SOP itu ialah jika pemohon adalah perempuan, dia mesti kemukakan alasan dalam permohonan termasuk menyatakan latar belakang keluarga pemohon dan latar belakang keluarga suami pemohon dan kemaslahatan.

SOP juga mencakupi kemampuan, status pendidikan, sifat peribadi, kesihatan, latar belakang seksual, kefahaman terhadap perkahwinan, sekufu, wali dan laporan kepada JKM, KKM dan PDRM jika perlu. – MalaysiaGazette