Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Jabatan Insolvensi Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa untuk membekukan prosiding kebankrapan yang telah dimulakan di mahkamah terhadap perniagaan, syarikat dan individu yang sedang dalam kegawatan aliran tunai dan tekanan kewangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang- Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jabatan itu hanya akan bertindak sebagai pentadbir hal ehwal kebankrapan setelah Perintah Kebankrapan direkodkan terhadap seseorang individu.

Kata beliau, Jabatan Insolvensi Malaysia juga berperanan sebagai penyelesai untuk mentadbir hal ehwal syarikat yang digulungkan oleh mahkamah.

“Sehubungan itu, tindakan untuk membekukan prosiding kebankrapan yang telah dimulakan di mahkamah telah berlaku sebelum peranan statutori Jabatan Insolvensi Malaysia bermula.

“Dengan itu, Ketua Pengarah Insolvensi dan pegawai-pegawai yang berkhidmat di jabatan ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian,” katanya menjawab soalan soalan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) di Parlimen hari ini.

Dr. Dzulkefly dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan kesediaan kementerian untuk membekukan atau ‘freeze bankruptcy proceeding’ bagi perniagaan yang sedang dalam kegawatan ‘cashflow’ dan tekanan kewangan.

Menurut Dr. Wan Junaidi, dalam konteks syarikat yang menghadapi masalah aliran wang tunai, boleh mendapat manfaat menerusi peruntukan berkaitan skim penyelamat korporat di bawah Akta Syarikat 2016 (Akta 777) iaitu skim perkiraan sukarela korporat atau pengurusan kehakiman.

Katanya, skim itu membolehkan syarikat untuk berunding dengan pemiutangnya tanpa campur tangan atau kelulusan mahkamah.

Menurut beliau, skim pengurusan kehakiman pula lebih formal, di mana syarikat atau pemiutang boleh memohon kepada mahkamah supaya perintah pengurusan kehakiman diluluskan.

“Untuk itu, seorang pengurus kehakiman dilantik bagi tujuan membolehkan pelan penyelamat dapat dipersetujui oleh pemiutang untuk dilaksanakan.

“Semasa tempoh moratorium mekanisma penyelamat korporat sedang berkuatkuasa, syarikat diberikan perlindungan dari apa-apa tindakan atau prosiding terhadap syarikat termasuk tindakan penggulungan.

“Di samping skim penyelamat korporat, syarikat boleh mencadangkan suatu skim kompromi atau perkiraan di bawah Seksyen 366 Akta 777 dan pada masa sama memohon kepada Mahkamah memberikan perintah halangan di bawah Seksyen 368 Akta 777 untuk menghalang prosiding selanjutnya dalam apa-apa tindakan atau prosiding terhadap syarikat itu kecuali dengan keizinan mahkamah,” katanya.

Namun, kata Dr. Wan Junaidi, dalam konteks kes kebankrapan, pelepasan seseorang individu yang telah dijatuhkan Perintah Kebankrapan boleh dipertimbangkan berdasarkan peruntukan Akta Insolvensi 1967 (Akta 360). – MalaysiaGazette