Razman Zakaria. Foto Urusetia Dewan Negeri Perak 16 DISEMBER 2021.

IPOH – Kerajaan Perak memperuntukan sebanyak RM150,000 setiap tahun melalui Jabatan Perikanan untuk program pelepasan benih ikan di perairan umum bagi meningkatkan sumber ikan di sungai, tasik, bekas lombong, empangan dan laut di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, dianggarkan sebanyak dua juta benih ikan dan udang akan dilepaskan di perairan umum pada tahun depan.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan membenteras penggunaan peralatan haram yang merosakkan sumber perikanan seperti penggunaan bubu naga dan pukat rawa sorong serta mencegah  pencerobohan oleh nelayan yang tidak berlesen melalui penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Sungai 1992.

Katanya, selain langkah mengurangkan tekanan terhadap sumber perikanan dengan menghadkan bilangan nelayan di setiap tempat akan dilaksanakan dengan kajian Carrying Capacity dijalankan di setiap perairan untuk menentukan stok sumber perikanan berbanding nisbah bilangan nelayan.

“Pembinaan unjam, tuas atau tukun tiruan di perairan negeri Perak merupakan salah satu daripada usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan sumber perikanan.

“Peruntukan yang diterima daripada kerajaan Persekutuan bagi tujuan ini adalah terhad. Bagaimanapun, pembinaan tukun tiruan di perairan sekitar Trong sememangnya dalam pemerhatian dan masih diperingkat cadangan oleh pihak Jabatan Perikanan Negeri Perak,” katanya ketika sesi soalan lisan pada Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Jamilah Zakaria (BN-Trong) yang ingin mengetahui perancangan jangka masa panjang dan jangkamasa pendek Jabatan Perikanan untuk memastikan habitat hidupan laut didalam kawasan Trong tidak berkurangan.

Razman menambah, bagi program jangka masa panjang yang dirangka, program kesedaran dalam kalangan nelayan akan diterap tentang kepentingan penglibatan nelayan di dalam penjagaan dan pengurusan sumber perikanan dengan mewujudkan komuniti nelayan bagi menjaga ekosistem setempat.

Selain itu kata beliau, program lain dengan mengurangkan faktor pencemaran di perairan umum yang menyebabkan gangguan habitat sehingga menyumbang kepada kemerosotan sumber perikanan dan membantutkan pembiakan.

“Kerajaan negeri juga akan mewujudkan industri hiliran atau lain-lain aktiviti tambah nilai yang berasaskan ikan dan hasil laut di setiap komuniti nelayan bagi meningkatkan pendapatan nelayan,” katanya. – MalaysiaGazette

.