Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin bercakap kepada media selepas menerima memorandum daripada Sekretariat Solidariti Rakyat yang membantah cadangan pindaan Akta 342 dengan menaikkan jumlah kompaun di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 16 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah mendakwa Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) cuba memufliskan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dakwanya, dengan jumlah kompaun atau denda yang boleh dikenakan sehingga RM2 juta, usahawan PKS bukan sahaja tidak mampu menjelaskannya, bahkan boleh menyebabkan syarikat mereka gulung tikar.

“Kalau denda sampai beberapa juta ringgit, saya rasa ia boleh sebabkan SME jatuh bankrap, itu akibatnya.

“Saya harap bila hari ini kita masuk ke dalam dewan, pindaan akan ditarik balik, kemudian dikaji semula supaya kita ada satu pindaan yang lebih adil,” katanya ketika berucap ketika Sekretariat Solidariti Rakyat melakukan protes pindaan Akta 342 di Jalan Parlimen, hari ini.

Sekretariat Solidariti Rakyat memegang plakad sebagai tanda membantah cadangan pindaan Akta 342 yang menaikkan jumlah kompaun di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 16 DISEMBER 2021.

Selain itu, pindaan Akta 342 dengan memperuntukkan jumlah kompaun yang lebih tinggi tidak diperlukan ketika negara tidak lagi melaksanakan proklamasi darurat yang tamat pada 21 Julai lalu.

“Pindaan Akta 342 ini tidak lagi diperlukan kerana kita tiada lagi darurat, ini kerana kompaun sekarang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Masalah dalam pindaan ini tiada budi bicara di mana kalau sebelum ini tak boleh bayar denda, boleh rayu sehingga RM1,000,” katanya

Tambah beliau, kompaun yang dikenakan terhadap syarikat korporat terlalu tinggi dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) itu turut dilakukan syarikat PKS yang membebankan.

“Kadang-kala alasan yang kena itu SOP tidak adil, apa yang kita hendak ialah satu kompaun atau denda yang adil yang boleh menghentikan individu dan korporat melanggar SOP, itu yang penting,” katanya. – MalaysiaGazette