Simon Templer Lo Ak Tusa

KOTA TINGGI – Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) yang diguna Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) gagal mengesan kemasukan bot pancung yang membawa 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) berikutan cuaca buruk.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, keadaan itu menyebabkan mereka berjaya membolosi perairan Malaysia.

“Bot pancung yang karam di Tanjung Balau, di sini berikutan ia gagal dikesan radar SWASLA akibat faktor cuaca buruk.

“Keadaan laut bergelora juga antara punca mengganggu transmisi radar SWASLA, malah bot pancung karam semalam menggunakan empat enjin dengan jumlah 800 kuasa kuda, menyebabkan ia hilang selepas dapat dikesan pada peringkat awal.

“Radar SWASLA dapat kesan sebuah bot curiga sebelum kami menghubungi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kira-kira jam 2 pagi semalam,” katanya pada sidang media di Pusat Operasi Mencari dan menyelamat (Carilamat) di Pantai Tanjung Balau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi semalam, bot pancung terbabit dipercayai karam akibat dibadai ombak akibat cuaca buruk.

Sehingga kini sebanyak 19 mayat PATI warga Indonesia telah ditemui, 17 orang masih hilang manakala 14 orang selamat.

Jelas beliau, sistem radar SWASLA yang kini sedang menjalani proses naik taraf bagi memantapkan lagi pemantauan yang dilakukan Maritim Malaysia pada masa depan.

Sementara itu, Simon yang ditanya sama ada insiden pembolosan PATI akan menyebabkan integriti Ops Benteng di kawasan perairan Johor Timur terjejas menafikan perkara itu.

Malah katanya, Ops Benteng akan diperhebatkan bagi memastikan perairan Johor Timur tidak terus dibolosi.

Beliau yakin kerjasama erat antara Maritim Malaysia, ATM dan Polis Diraja Malaysia yang mengawasi sektor masing-masing di perairan Johor Timur akan mengurangkan pembolosan PATI di negara ini. – MalaysiaGazette