Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Satu lagi Rang Undang-Undang (RUU) pindaan mendapat sokongan Ahli Dewan petang ini.

Rang Undang-Undang itu ialah Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2021 (Akta 829).

Sebanyak tiga kementerian terlibat dalam pindaan akta berkenaan iaitu Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Akta Covid-19 2020 (Akta 829) telah diwartakan pada 23 Oktober 2020 bagi tempoh dua tahun dari tarikh penyiaran dalam Warta Kerajaan.

Akta itu adalah komitmen kerajaan untuk mengurangkan impak perundangan Covid-19 dan juga suatu temporary relief daripada tanggungjawab perjanjian bagi suatu tempoh yang ditetapkan.

Ketika membaca akta itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, penggubalan akta berkenaan melibatkan pengubahsuaian 14 Akta dan dua Ordinan peringkat Persekutuan di bawah kawal selia Kementerian dan jabatan berkaitan.

Katanya, keputusan kerajaan pada 2020 berkaitan penggubalan akta berkenaan didorong oleh krisis penularan pandemik Covid-19 yang bukan sahaja memberi impak negatif kepada kesihatan awam, malah turut memberi kesan kepada ekonomi dan sosial penduduk dunia termasuk rakyat Malaysia.

Pada masa sama, kata beliau, kerajaan turut melaksanakan penguatkuasaan Akta 342 termasuk mewartakan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette