Halimah Sadique bersama pasukan penguat kuasa dari PDRM, MKN, KKM, KPN melakukan tinjauan 10 lokasi termasuk Kuil Batu Caves ditemani Pengerusi rumah ibadat itu, Tan Sri Nadarajah yang terlibat dalam sambutan Thaipusam 2022 bagi mengemaskini SOP Covid-19 semasa lawatan hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara akan melakukan penambahbaikan atas cadangan prosedur operasi standard  (SOP) Perayaan Thaipusam tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, penambahbaikan itu hasil tinjauannya ke lokasi dan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Cadangan SOP Sambutan Thaipusam itu kemudian akan dibawa untuk pertimbangan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar,” tegasnya dalam satu kenyataan kementeriannya hari ini.

Terdahulu, Halimah hari ini telah turun padang membuat tinjauan ke lokasi Sambutan Thaipusam di Batu Caves, Selangor.

Menteri Perpaduan Negara itu membuat tinjauan berkenaan berdasarkan keputusan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 Bilangan 10 Tahun 2021 pada 14 Disember 2021 yang memutuskan supaya kementeriannya, MKN, KKM dan PDRM perlu turun padang untuk melihat dengan lebih dekat lokasi sambutan dan seterusnya memperkemaskan cadangan SOP.

Halimah Sadique bersama pasukan penguat kuasa dari PDRM, MKN, KKM, KPN melakukan tinjauan di 10 lokasi termasuk Kuil Batu Caves yang terlibat dalam sambutan Thaipusam 2022 bagi mengemaskini SOP Covid-19 semasa lawatan hari ini.Foto Ihsan KPN

Kementerian itu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan bahawa sesi tinjauan berkenaan turut dihadiri oleh wakil MKN, KKM, PDRM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor serta pihak pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Dhevastanam.

“Sesi tinjauan bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman Jalan Tun HS Lee Kuala Lumpur iaitu lokasi permulaan pergerakan kereta chariot bagi Perayaan Thaipusam dan diteruskan di 10 lokasi persinggahan kereta chariot (pedati) yang telah dikenalpasti oleh pihak pengurusan kuil dan berakhir di Kuil Sri Subramaniaswamy Batu Caves, Selangor.

Halimah Sadique bersama pasukan penguat kuasa dari PDRM, MKN, KKM, KPN melakukan tinjauan 10 lokasi termasuk Kuil Batu Caves yang terlibat dalam sambutan Thaipusam 2022 bagi mengemaskini SOP Covid-19 semasa lawatan hari ini.Gambar Ihsan KPN

“Sesi tinjauan ini bertujuan untuk melihat dengan lebih dekat proses perjalanan dan pergerakan kereta chariot serta lokasi upacara keagamaan lain iaitu upacara sembahyang, membawa Kavadi, membawa “Paal Koodam” (belanga berisi susu), mencukur rambut, upacara ritual (mandi), dan gerai jualan,” kata kementerian itu.

Dalam perkembangan sama,  pemilihan Batu Caves sebagai lokasi tinjauan adalah kerana ia merupakan lokasi terbesar bagi Sambutan Perayaan Thaipusam setiap tahun di negara ini.

Malahan Halimah juga akan turun membuat tinjauan ke kuil-kuil di negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Perak yang terlibat dalam sambutan Thaipusam dalam masa terdekat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast