IPOH – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan Perak 2022 dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.1 bilion.
Belanjawan itu dibentang dan dibahas selama enam hari sempena Persidangan Keenam, Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Usul yang diluluskan di bawah Enakmen Perbekalan 2022 itu mendapat sokongan 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa sebarang bantahan.
Bermula Isnin lalu, sepanjang perbahasan selama tiga hari, 42 ADUN berbahas iaitu masing-masing 18 mewakili kerajaan, 23 pembangkang dan seorang wakil rakyat Bebas.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sesi penggulungan perbahasan belanjawan selama dua jam menjawab pelbagai soalan dikemukakan ADUN.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid sebelum itu mengarahkan semua ADUN yang menyokong belanjawan tersebut menyatakan persetujuan.
59 ADUN kemudiannya menyatakan persetujuan secara sebulat suara tanpa pindaan terhadap belanjawan berkenaan.
Mohammad Zahir kemudiannya mengumumkan Belanjawan Perak 2021 diluluskan pada bacaan kali kedua dan kali ketiga.
Ketika sesi penggulungan, Saarani berkata, kerajaan negeri bersedia melakukan semakan belanjawan selepas suku tahun kedua 2022.
Jelas beliau, pembentangan bajet tambahan akan dibentangkan sekiranya kedudukan kewangan negeri menunjukkan prestasi yang baik.
Beliau berkata, kerajaan mengambil ketetapan bahawa Belanjawan 2022 perlu realistik dengan mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan.
“Suka untuk saya mengingatkan diri saya dan kita semua bahawa niat baik yang disematkan dalam Belanjawan 2022 tidak akan mendatangkan apa-apa makna jika tidak disusuli dengan pelaksanaan yang betul.
“Maka saya mengulangi gesaan supaya kita sama-sama dapat pastikan setiap ringgit dan sen yang dibelanjakan mengambil kira perancangan yang rapi, meneliti kebolehlaksanaan serta mengikut tatacara kewangan sepatutnya,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Saarani mengumumkan Belanjawan Perak 2022 berjumlah RM1.1 bilion.
Peruntukan belanjawan tersebut bagaimanapun mengalami penyusutan berbanding tahun lalu yang berjumlah RM1.215 bilion.
Saarani berkata, peruntukan Belanjawan Perak 2022 meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM803 juta dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM302 juta.
Beliau berkata, Belanjawan Perak 2022 dicadangkan sebagai bajet defisit RM50 juta berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan berjumlah RM1.06 bilion serta perbelanjaan yang dirancangkan. – MalaysiaGazette