Kakitangan DBKL dan Alam Flora melakukan kerja pembersihan lumpur disebabkan banjir sekitar bandar raya Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan kerja operasi membantu dan menyelamat mangsa banjir di kawasan yang terkesan dengan bencana itu sekitar ibu negara.

Menurut jurucakap Unit Media, Jabatan Perancangan Korporat DBKL, sehingga malam ini, seramai 564 penduduk telah dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di ibu kota.

Katanya, daripada jumlah itu, 143 mangsa dari Kampung Periuk ditempatkan di PPS Dewan Sultan Sulaiman, 413 dari Kampung Pasir di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Saraswathy, Lembah Pantai.

Sementara lapan lagi penduduk dari Kampung Batu Bata kini berada di PPS Dewan Jalan Hamzah.

“Memandang paras air telah surut di Taman Hock Ann, maka semua penghuni yang dipindahkan telah pulang ke rumah masing-masing.

“Bagi paras air yang telah surut dan jalan dibuka kepada semua laluan melibatkan Lorong Haji Mahadi, Jalan Melaka dan Jalan Batu Bata, manakala jalan di Jalan Rahmat PWTC masih tutup.

“Jalan yang telah dibuka pula melibatkan Maluri, Leisure Mall, Bandar Permaisuri dan Sungai Besi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata jurucakap itu lagi, jalan belum dibuka tetapi air telah surut ialah Kampung Seri Delima, Jalan Raja Chulan dan Lorong Jambu Laut manakala jalan telah dibuka ialah Kampung Kasipillay, Kampung Chubadak dan Jalan Tiongnam.

DBKL juga mengenal pasti 21 lokasi melibatkan tanah runtuh iaitu di Persiaran Negeri Sembilan, Setiawangsa (Cerun C), Jalan Durian 3, Cheras; No. 5 Lorong Bukit Pantai 3, Jalan 2/98, Taman Supreme dan Lot 2979, Jalan Penchala Indah.

Turut terlibat lokasi di No. 263, Taman Damansara Indah, Bangsar Indah Condominium, Jalan Kelantan, Bukit Persekutuan; Jalan Bukit Ledang, Damansara; Jalan Pantai Permai, Pantai Hillpark; Jalan Perkasa, Taman Salak Selatan; Seri Duta I, Bukit Tunku; dan Lorong Burhanuddin Helmi 4, TTDI.

Tujuh lokasi lagi ialah Parking Awam Bukit Nanas, Kg. Palimbayan, Sg. Penchala (laluan ditutup sepenuhnya); Jalan Segambut, Segambut Tengah; 22 Lorong Travers, Jalan berhampiran Sri Carcosa (tali keselamatan dan water barrier telah diletak di lokasi sebagai tindakan awal), Klinik Kesihatan Segambut Dalam dan Jalan Kiara 3 (Segambut Tengah – Laluan dibuka sehala sahaja).

DBKL bersama agensi sahabat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis DiRaja Malaysia, RELA, Alam Flora, Pusat Kesihatan dan Pasukan Pengakap Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terus menjalankan operasi membantu dan menyelamat serta menjalankan kerja pembersihan.

Jumlah keseluruhan kekuatan anggota yang terlibat seramai 1,275 orang.

Kerja pembersihan telah mula dilakukan DBKL melalui Alam Flora di lokasi banjir yang telah surut bagi memastikan bandar raya Kuala Lumpur berada dalam keadaan bersih dan selesa untuk dikunjungi. – MalaysiaGazette