Anggota tentera 11 Briged menyerahkan bayi kepada ibunya dalam usaha menyelamat penduduk dari banjir.

KUALA LUMPUR – Anggota tentera dikerah membantu mangsa banjir di kawasan terlibat bencana sejak semalam, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, mereka bersama aset tentera melakukan kerja menyelamat dan memindahkan mangsa ke Penempatan Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri.

“Setiap risiko dihadapi anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) tanpa ragu demi keselamatan rakyat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Hishammuddin berkata, selain Shah Alam, anggota tentera dan aset dari 11 Briged turut berada di Dengkil sejak semalam.

Katanya, tugas mereka ialah membawa keluar mangsa banjir yang terkandas ke kawasan lebih lebih selamat.

Penduduk di kawasan Sepang dipindahkan ke kawasan lebih selamat dalam kejadian banjir di Selangor, hari ini.

“Sama-sama kita doakan, semoga operasi dipermudahkan dan banjir segera surut,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan ada menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin untuk mendapatkan bantuan.

Khidmat mereka diperlukan di kawasan yang agak teruk dilanda banjir seperti di Taman Sri Muda dekat Shah Alam dan sekitar Klang. – MalaysiaGazette