Amirudin (kanan) melawat PPS SK Padang Jawa, Klang yang menempatkan 30 keluarga mangsa banjir.

SHAH ALAM – Selangor telah meminta bantuan daripada kerajaan Persekutuan bagi membantu kerja-kerja memindahkan mangsa banjir dan masuk ke kawasan terjejas bencana alam itu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau juga telah menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menyalurkan bantuan.

“Saya telah berhubung dengan Perdana Menteri memohon bantuan bagi mangsa banjir di Selangor.

“Kita juga mohon bantuan penglibatan tentera bagi menyelamatkan seramai mungkin mangsa banjir yang terkandas di seluruh Selangor ketika ini,” katanya menerusi ciapan Twitternya tengah malam tadi.

Dalam perkembangan terbaharu pagi ini, Amirudin berkata, akibat kesukaran memasuki kawasan Seksyen 25 iaitu Taman Sri Muda di sini, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan sukarelawan Lembah Klang telah mengerahkan lapan inflatable bot untuk membantu keluar dan memindahkan mangsa.

Katanya, banjir yang melanda Selangor ketika ini amat luar biasa dan orang ramai boleh hubungi talian hotline Pusat Operasi Kecemasan Bencana Banjir negeri 03-5650 0503 03-5650 0504 03-5650 0599 yang beroperasi 24 jam sehari.

“Saya juga dimaklumkan Masjid Negeri Shah Alam telah membuka ruang bagi menempatkan mereka yang terkandas akibat banjir dan pengurusan masjid turut berusaha menyediakan makanan serta minuman kepada mangsa terlibat,” katanya.

Sehingga jam 12 tengah malam tadi, lebih 3,000 mangsa banjir dipindahkan ke 30 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong dan SK Johan Setia di Klang mencatatkan jumlah penempatan mangsa tertinggi iaitu masing-masing 681 dan 793 orang. – MalaysiaGazette