KLANG – “Ini pertama kali dalam sejarah rumah penduduk di Jalan Kassim ditenggelamkan banjir,” kata Nor’ain Abdul Manan.
Bagi Nor’ain, 53, pengalaman berdepan situasi banjir sehingga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Menurut Nor’ain yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Shah Alam, paras air meningkat secara mendadak sehingga ke bahagian lutut pada malam Sabtu lalu memaksa mereka berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Meru.
“Selama saya duduk di taman perumahan itu hampir 20 tahun, ini adalah kali pertama merasai banjir dan pengalaman duduk di PPS. Memang rasa sangat terkejut dan tidak menjangka air boleh naik begitu cepat.
“Kira-kira pukul 2 pagi kami telah dibantu oleh sukarelawan untuk pindah masuk ke PPS dan setakat ini kami masih tidak boleh pulang untuk membersihkan rumah berikutan banjir masih lagi bertakung,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Nor’ain, ketika kejadian, dia hanya fikir untuk menyelamatkan diri bersama suami ke tempat yang lebih selamat.
“Barang rumah memang kami tak fikir dah, fikir hendak selamat je. Tapi bila tengok semula memang perabot semua sudah rosak teruk dan hancur,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Jalan Kassim, Rafidah Rahim, 51, berkata, nasib tidak menyebelahi mereka kali ini apabila banjir yang melanda seluruh Meru turut menenggelamkan rumah mereka.
Jelas Rafidah, setiap kali banjir berlaku di Meru, keluarga adik dan abangnya akan datang untuk tumpang berteduh berikutan kediaman mereka sudah tenggelam.
Namun, lain pula yang terjadi pada Sabtu lalu, apabila kesemua mereka terpaksa berhimpit menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk dipindahkan ke PPS SK Sungai Binjai.
“Keluarga saya tiga orang, keluarga adik lima orang dan keluarga abang tiga orang, jadi kami semua tanpa diduga terpaksa dipindahkan ke PPS.
“Selalunya setiap kali banjir memang adik dari Taman Berkat akan datang menumpang di rumah saya, sebab itu kami pun terkejut kerana banjir kali ini terlalu dahsyat sehingga kediaman kami turut sama tenggelam.
“Kiranya ini memang kali pertama lah banjir berlaku di Jalan Kassim,” katanya yang merupakan seorang pekerja swasta.
Kata Rafidah lagi, sudah dua malam mereka bermalam di PPS berikutan banjir yang masih belum surut sehingga hari ini.
“Semalam suami balik rumah tengok air masih ada dan jalan masuk ke kawasan perumahan pun masih tinggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette