Logo UPM

KUALA LUMPUR Universiti Putra Malaysia (UPM)  memenangi enam pingat emas, dua perak dan satu gangsa di The International Invention, Innovation & Technology Exhibition
2021 (ITEX) yang diadakan secara hibrid di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC)
dari 13 hingga 14 Disember 2021.

ITEX merupakan pameran rekacipta dan inovasi berprestij antarabangsa yang
diadakan secara tahunan, anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS)
dan C.I.S yang menyediakan platform dan pasaran untuk idea dan inovasi terkini di
peringkat global.

ITEX 2021 menandakan tahun ke-32 penganjurannya bertemakan penciptaan semula
dan memberi tumpuan kepada isu semasa Covid-19 selaras dengan pandemik global
yang dihadapi oleh masyarakat dan ekonomi setiap negara.

Tema ini mengetengahkan usaha berterusan untuk penambahbaikan dan inovasi yang lebih baik di masa hadapan.

Pada penyertaan kali ini, ITEX 2021 telah menerima lebih daripada 500 inovasi dari
15 buah negara seperti Jepun, Taiwan, Thailand dan banyak lagi.

UPM menarik perhatian perekacipta dari dalam dan luar negara, dengan
mempamerkan inovasi dan teknologi terkini dalam pelbagai bidang profesional
meliputi pertanian, perubatan,sains kesihatan, kejuruteraan, sains sosial dan
bioteknologi.

Enam pingat emas tersebut merupakan hasil komitmen dan dedikasi yang tinggi
dalam membangunkan inovasi terbaik oleh barisan penerima yang tersenarai iaitu
Grafin TokTM oleh Prof. Dr. Lim Hong Ngee dari Fakulti Sains, Putra Amazing Agar
oleh Prof. Dr. Syafinaz Amin Nordin dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

Teknik Dadu Gergasi Imbuhan oleh Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam dari
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Promising Crop Yields from Productive Soil
oleh Prof. Dr. Osumanu Haruna Ahmed dari UPM Kampus Bintulu, GeoCoat-A Novel
Fire Retardant Coating Based on Agricultural Waste oleh Ts. Dr. Mohd Salahuddin
Mohd Basri dari Fakulti Kejuruteraan dan FS Feed for Life Food Replacement in
Aquaculture Industry oleh Dr. Fadhil Syukri dari Fakulti Pertanian.

Grafin TokTM adalah di antara inovasi yang mendapat sambutan menggalakkan
pelawat ITEX di booth UPM.

Inovasi ini menggunakan grafin sebagai komponen utama dalam menghasilkan minyak enjin yang terbukti meningkatkan kecekapan enjin dengan pengurangan pelepasan HC, CO & NO yang ketara sebanyak 90% dan keupayaan untuk menghidupkan semula enjin dengan pengurangan bunyi dan getaran 10% lebih hebat untuk pemanduan yang lebih lancar dan senyap.

UPM turut merangkul dua pingat Perak dan satu Gangsa untuk mengukuhkan lagi
pencapaian cemerlangnya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dr. Nazamid Saari berkata, UPM sekali lagi meneruskan tradisi kecemerlangannya dengan
memenangi pingat bagi kesemua sembilan inovasi yang dipertandingkan.

Anugerah beprestij ITEX 2021 pada tahun ini turut mengetengahkan agensi
pendidikan dan latihan vokasional (TVET), sebaris dengan usaha dan agenda
nasional untuk meningkatkan sektor TVET.

ITEX 2021 menampilkan anugerah khas, MINDS Award untuk mengetengahkan tema
tahun ini yang memberi tumpuan kepada isu Covid-19 dan meraikan inovasi dan
teknologi terbaik sekali gus menggalakkan pertumbuhan perniagaan baru untuk
muncul dan memacu sektor ekonomi negara.

Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Omar Abdul Rahman selaku tetamu kehormat ITEX 2021, turut berkesempatan mengunjungi booth pameran UPM bagi berkongsi pandangan dengan penyelidik muda UPM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast