KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) meminta pelanggannya yang terjejas dengan banjir untuk menghubungi bank itu bagi urusan bayaran pembiayaan mereka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, Bank Muamalat prihatin terhadap kesejahteraan pelanggannya yang terkesan berikutan banjir kilat yang mengakibatkan kemusnahan harta benda dan menjejaskan operasi perniagaan.

”Pelanggan yang terjejas boleh menghubungi Bank Muamalat untuk berbincang mengenai sebarang masalah berhubung urusan bayaran pembiayaan mereka sekiranya menghadapi kesulitan kewangan berikutan banjir yang melanda,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, pelanggan yang terjejas juga tidak akan dikenakan sebarang bayaran bagi penggantian Kad Debit Bank Muamalat mereka. – MalaysiaGazette