SHAH ALAM – Proses menyedut air ‘banjir termenung’ di Seksyen 25, Taman Sri Muda di sini dengan menggunakan sebanyak 24 buah pam air dijangka selesai dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, kerja-kerja mengeluarkan air banjir dari kawasan tersebut dapat dipercepatkan lagi dengan penggunaan pam berkenaan.
Menurut beliau, kesemua pam air itu dibahagikan kepada empat lokasi berbeza di kawasan berkenaan dengan setiap lokasi ditempatkan dengan lima buah.
“Sejak pukul 2 pagi tadi sehingga 2 petang ini, paras air banjir di sini dapat dikurangkan dari satu meter kepada kira-kira 0.3 meter.
“Kalau dikira lebih 80 peratus telah pun di pam keluar dan kita jangka hari ini juga keseluruhan proses dapat diselesaikan.
“Ini kerana apabila sudah kering jadi penduduk boleh pulang ke rumah untuk kerja-kerja mencuci terutama sekali mereka yang berada di pusat pemindahan sementara,” katanya menerusi sidang media di Pos Kawalan Operasi Bomba di Persiaran Kemuning Prima di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr. Aminuddin Hassim.
Tambah Abdul Latiff, air banjir yang disedut dari Taman Sri Muda kemudiannya akan disalurkan ke Sungai Klang.
Jelas beliau lagi, kesemua proses menyedut air di kawasan berkenaan di kawal selia oleh Jabatan Pengairan dan Saliran.
“Kita tunggu apabila air sungai dah mulai surut baru boleh disalurkan air yang disedut ke sana, kita tengok sekarang pun sudah tak hujan lagi jadi air pun tidak akan melimpah,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerja-kerja menebuk benteng bagi membantu mengalirkan air banjir juga telah pun dimulakan.
“Sekarang ini dua proses berlaku dalam satu masa iaitu sedut dan tebuk (benteng) tapi tebuk pun tak besar kerana nanti nak tutup ambil masa lama,” katanya. – MalaysiaGazette