Dulu dibantu, kini giliran Ainul Mardhiah pula membantu – Bapa

MELAKA – “Mana mungkin saya lupa bagaimana Ainul Mardhiah dulu dibantu, didoa jutaan rakyat, jadi anggaplah bantuan kecil kepada mangsa banjir ini sebagai pengantara kepada mereka yang telah membantu anak saya dua tahun lalu,”.

Itu luahan , 26, bapa Ainul Mardhiah, 3, bayi perempuan yang menghidap kanser ‘Germ Cell Tumor’ atau tumor di mulutnya sejak lahir sehingga mendapat perhatian jutaan rakyat seluruh negara yang membantunya pada 2019.

Menurut pengusaha kedai runcit Asar Halmart di Ayer Molek itu, dia dan isteri, Nurul Erwani Zaidi, 26, terpanggil untuk membantu mangsa bencana banjir luar biasa di Lembah Klang kerana pernah berada di situasi sama yang mengharapkan doa dan ihsan orang ramai dahulu.

“Sebab itu bila melihat ujian dihadapi mangsa banjir di media sosial, rasa pilunya hati kerana Allah juga menguji kami dan anak sulung sebelum ini menyebabkan kami terpanggil untuk membantu mereka.

“Saya yakin, pasti ramai dalam kalangan ribuan mangsa banjir itu pernah bantu salurkan tenaga, wang ringgit dan doa kepada Ainul Mardhiah sehingga dia sihat sehingga ke hari ini, jadi tibalah giliran Ainul Mardhiah menjadi pengantara membantu mereka,” katanya ketika ditemui media di kedainya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Safiudidin berkata, pada peringkat awal, mereka bercadang untuk menyediakan sendiri barangan keperluan itu, namun berubah fikiran apabila mengenangkan mangsa banjir yang semakin meningkat.

“Jika kami bergerak sendiri, apalah sangat kemampuan kami yang kecil ini, sebab itu saya buka peluang kepada orang ramai untuk kumpul sumbangan barangan mereka di kedai kami sebelum dihantar ke Selangor dan Kuala Lumpur jam 8 pagi esok.

“Tapi, kami tak sangka pula, dalam tempoh dua hari sahaja menguar-uarkan usaha ini di media sosial bermula semalam dan hari ini orang ramai tidak putus-putus menghulurkan bantuan sehingga sekarang sudah berjumlah hampir 10 tan,” katanya.

Kisah Ainul Mardhiah pernah menggemparkan rakyat negara ini yang simpati dengan nasibnya menderita tumor di mulut ketika berusia lapan bulan.

Keluarga itu kemudian berlepas ke London bagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di hospital kanak-kanak di London pada 10 Jun 2019.

Pembedahan itu dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang bersama pelatih pakar bedah Malaysia Dr Nur Amalina Che Bakri yang bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan.

Kisah Ainul Mardhiah bukan saja mendapat perhatian rakyat Malaysia, malah Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menziarahinya ketika beliau berada di United Kingdom. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast