BUTTERWORTH – Isu kekurangan minyak masak paket bersubsidi yang membelenggu penduduk Pulau Pinang sejak tiga bulan lalu terjawab selepas pemborong tempatan dikenal pasti menjadi dalang utama penyelewengan.
Kegiatan pemborong tempatan itu dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDPNHEP) Pulau Pinang selepas menyerbu sebuah stor haram di Jalan Bagan Ajam di sini awal pagi tadi.
Hasil serbuan itu turut membawa kepada penemuan dua tan minyak masak bersubsidi yang dibungkus semula dalam bentuk minyak botol lima kilogram (kg) serta tong minyak industri (17kg) untuk dieksport ke Thailand.
MalaysiaGazette difahamkan, minyak masak yang dibungkus dalam bentuk botol itu untuk pasaran sekitar Kedah, Perak serta negeri ini dengan harga RM25 sebotol manakala RM150 bagi tong minyak industri yang dieksport.
Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, hasil risikan selama sebulan membawa kepada pembongkaran pemborong tempatan menjadi dalang utama penyelewengan minyak masak paket bersubsidi sehingga barangan berkenaan kurang di pasaran.
Selain itu, pemborong juga bertindak memanipulasi proses penjualan untuk mengaut keuntungan besar.
Hasil siasatan mendapati ketirisan berlaku di peringkat pemborong membuatkan pihaknya menjalankan siasatan terperinci sebelum mendapati beberapa pemborong tempatan terlibat dalam penyelewengan tersebut.
Kata Mohd Ridzuan, siasatan juga mendapati pemborong sentiasa berpindah-randah dari satu stor ke stor haram lain untuk dijadikan tempat memproses minyak subsidi ke dalam botol sekali gus mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Kita dapati pembungkus negeri ini mengeluarkan tiga juta kilogram minyak bersubsidi kepada pemborong setiap bulan namun ia tidak sampai kepada peruncit.
“Pemborong yang terlibat dalam penyelewengan kali ini dilihat agak licik yang mana dia membeli minyak masak daripada beberapa pembungkus bagi mengelak dikesan jumlah sebenar pembelian.
“Selain itu, pemborong juga melekatkan label cap dagang syarikat yang berdaftar secara sah pada botol minyak masak keluarannya bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di lokasi serbuan.
Turut dirampas dalam serbuan berkenaan dua tangki aluminium berisi 500kg minyak masak, 50 kotak berisi minyak masak botol bersaiz 5kg serta 27 kotak minyak masak paket bersubsidi.
Tambah Mohd Ridzuan, semakan di lokasi mendapati pemborong mengisi minyak paket bersubsidi dalam tangki aluminium sebelum ia diisi semula dalam bentuk botol 5kg serta tong minyak industri 17kg untuk dieksport.
Tegas beliau, sisa plastik minyak masak bersubsidi paket 1kg yang telah digunting, peralatan untuk pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tong industri turut ditemui di lokasi serbuan.
Kata Mohd Ridzuan, penyelewengan minyak masak itu dipercayai berlaku sejak September lalu namun membabitkan lokasi berbeza.
“Tiada tangkapan dilakukan di stor berkenaan sebaliknya pemilik tanah dipanggil bagi merakamkan keterangan bagi mengenal pasti penyewa premis yang bertanggung jawab dalam kegiatan terbabit.
“Selain itu, kita akan panggil pemborong yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan ini untuk membantu siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette