KUALA LUMPUR – Didakwa tidak sensitif dengan masalah rakyat yang bergelut dengan banjir beberapa hari lalu, Pergerakan Wira Putra Malaysia mendesak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun meletakkan jawatan.
Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, tindakan Speaker Dewan Rakyat yang menolak daripada isu banjir dibahaskan di Parlimen pada Isnin lalu memperlihatkan dirinya tidak prihatin dengan derita dan kesengsaraan rakyat.
Wira Putra, katanya, sedih dengan keadaan rakyat yang terkesan akibat banjir besar yang berlaku di Selangor dan beberapa negeri, tetapi tidak ada sebarang tindakan pantas membantu rakyat yang nengalami kerugian selepas banjir.
“Agak mengecewakan apabila Speaker Dewan Rakyat tidak menganggap isu banjir sebagai penting dan perlukan perbahasan bagi membincangkan pelan afirmatif membantu mangsa banjir.
“Sebelum ini beliau juga halang dan beri pelbagai alasan untuk bahas usul darurat, sekarang ini usul tangani banjir pula dihalang. Nampak jelas sikap berat sebelah dan langsung tidak mencerminkan sikap profesional dan prihatin rakyat.
“Dari awal lagi kerajaan yang terbentuk dari pintu belakang ini gagal menangani banyak kemelut atau bencana yang menekan rakyat. Musibah datang bertimpa, tetapi pemimpin sama yang gagal masih mengepalai negara,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan Putra, Ashraf Rosli menyifatkan kenyataan balas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad semalam sebagai sombong.
Katanya, sebagai ahli Parlimen yang sudah enam penggal menjadi wakil rakyat dan menyandang jawatan timbalan serta menteri, sepatutnya tahu dan faham tugasan atau fungsi portfolio yang dipegangnya.
“Bencana banjir ini bukan sesuatu yang baharu, sepatutnya dia memastikan NADMA sentiasa bersiap sedia menghadapi apa sahaja ancaman termasuk banjir yang sentiasa berlaku setiap hujung tahun,” katanya.
Semalam, media melaporkan kenyataan Dr. Abd. Latiff yang menyebut, “Bubar (Nadma) boleh, saya setuju. Saya letak jawatan (pun) boleh. Saya sudah enam penggal (jadi wakil rakyat). Tiada masalah. Tapi apakah solusinya?”
Beliau membuat kenyataan itu ketika menjawab soalan media berhubung dakwaan mengatakan dia gagal mengendalikan NADMA, antara agensi kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab penuh mengurus bencana alam di negara ini.
Menurut Ashraf, kelewatan kerajaan mengurus bencana banjir di Selangor baru-baru ini adalah memalukan.
“Di negara luar, contohnya Jerman, menteri didesak meletakkan jawatan kerana gagal menguruskan banjir. Menteri berkenaan terus letak jawatan, tidak bertanyakan apakah solusinya.
“Menteri kita pula pelik, gagal buat kerja pun tetap pertahankan jawatan, malah persoalkan balik, apa solusinya minta dia letak jawatan?,” katanya. – MalaysiaGazette
Ehh kan YDP Dewan Rakyat tu lantikan PH dan dikekalkan oleh Pak Mail..jgn salahkan Yg Dipertua..dan AG..juga menteri NADMA biol tu…mrk tu semua disokong oleh PM
Kalau YB Speaker bagi kebenaran untuk dibahasakan pun apa yg MP boleh buat untuk bantu mangsa banjir selain berteriak, bertempik, menjerit² seperti monyet