Dr Muhamad Akmal Saleh Pulau Gadong Covid-19 cluster Melaka state election tahfiz centre madrasah Kolej Vokasional Melaka Tengah Covid-19 cluster Jalan Tun Telani Cluster students vocational college HFMD hand foot and mouth disease infectious
Dr Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Melaka merekodkan kes pertama varian yang dibimbangi (VOC) Omicron, melibatkan wanita warga tempatan berusia 34 tahun yang baru balik mengerjakan umrah pada 4 hingga 15 Disember lalu.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, susulan daripada itu lima lagi telah disahkan positif Covid-19 dengan empat orang adalah di Melaka dan seorang di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, kes pertama varian Omicron dikesan setelah pengesahan dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia pada 25 Disember lalu melalui ujian jujukan genom PCR (Genotyping Assay) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap seorang wanita.

“Wanita terbabit pulang dari Jeddah, Arab Saudi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz dengan menaiki pesawat Saudi Airlines (Flight SV3842) dan tiba di KLIA pada 15 Disember 2021 jam 9.50 malam.

“Ujian swab PCR Covid-19 telah dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semasa ketibaannya sebelum bergerak pulang ke negeri Melaka menaiki van persiaran sewaan khas agen umrah,” katanya pada sidang media di pejabatya di sini hari ini.

Dr Akmal berkata, wanita itu telah dirujuk ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Bukit Serindit dan dibenarkan untuk menjalani isolasi di rumah kerana dia berstatus kategori 1 (tidak bergejala) dan dalam keadaan stabil.

“Pada 25 Disember 2021 wanita itu disahkan positif Covid-19 varian Omicron dan telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Melaka untuk tujuan pemantauan rapi.

“Hasil siasatan awal mendapati terdapat sembilan kontak rapat iaitu lapan orang kontak rapat keluarga, yang mana enam orang berada di Melaka dan dua orang lagi di Kuala Lumpur yang telah mengerjakan umrah bersamanya,” katanya.

Tambahnya, turut dikesan seorang kontak kasual iaitu pemandu van agen umrah berkenaan.

Kesemua kontak rapat terbabit telah diarahkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian selama 14 hari dan ujian swab PCR.

Jelasnya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka masih menjalankan siasatan lanjut dengan terperinci terhadap kes varian Omicron.

“Siasatan kontak rapat juga diteruskan untuk mengesan kesemua ahli kumpulan yang mengerjakan umrah bersama-sama kes.

“Sehubungan itu, saya memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataaan rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKN Melaka untuk sebarang berita perkembangan kes Omicron ini,” katanya.