The Founder of MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman listening to the latest briefing on the Flood Aid Mission at Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 27 DECEMBER 2021
The Founder of MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman listening to the latest briefing on the Flood Aid Mission at Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 27 DECEMBER 2021. Pengasas MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendengar penjelasan berkenaan laporan terkini mengenai Misi Banjir MUDA di Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 DISEMBER 2021.

SUBANG JAYA – Pengeluaran i-Citra tidak boleh dijadikan sebagai rancangan utama untuk rakyat menyelesaikan masalah kewangan.

Sebaliknya Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan perlu memainkan peranan bagi memastikan bantuan kewangan yang mencukupi kepada rakyat.

Justeru katanya, bantuan kepada mangsa banjir sebanyak RM1,000 di bawah Bantuan Wang Ihsan (BWI) perlu ditambah.

“Tanggungjawab hakiki kerajaan adalah untuk memastikan mangsa-mangsa banjir, rakyat Malaysia dapat bantuan yang mencukupi supaya mereka tidak perlu menjejaskan masa depan mereka.

“Bukan saya nak menidakkan pengeluaran i-Citra tetapi ia tidak boleh dijadikan pelan utama. Apabila ada krisis, tidak ada duit, pelan A keluarkan duit KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

“Kerajaan perlu pastikan bantuan dana yang diberikan mencukupi supaya mereka dapat pembelaan sewajarnya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan perlu menyediakan lebih daripada satu rancangan untuk membantu rakyat khususnya mangsa banjir yang mengalami kerugian besar baru-baru ini akibat kerosakan rumah, harta benda dan banyak lagi.

Dalam masa yang sama Syed Saddiq tidak menolak perbincangan mengenai i-Citra boleh dilaksanakan mengikut keperluan.

“Keutamaan adalah memastikan bantuan kerajaan itu mencukupi supaya perkara lain boleh dijadikan pelan B  dan pelan C,” tambahnya.

Pengeluaran secara one-off sebanyak RM10,000 i-Citra KWSP buat kali terakhir baru-baru ini kembali hangat diperkatakan selepas rakyat terlibat dengan bencana banjir.

Bagaimanapun, semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak bercadang membenarkan pengeluaran i-Citra kerana berpendirian bantuan kewangan dan pinjaman yang disediakan sudah memadai membantu mangsa banjir. – MalaysiaGazette