KUALA LUMPUR – Penerima vaksin Covid-19 disaran mengambil dos penggalak seawal tiga bulan selepas dos kedua.
Saranan itu, kata Khairy Jamaluddin disyorkan oleh syor baharu Jawatankuasa Kerja Teknikal CITF-B selepas menilai hasil kajian klinikal sedia ada ke atas suntikan penggalak.
Menteri Kesihatan itu berkata, hasil dapatan yang dijalankan oleh institut kesihatan negara menunjukkan tahap keberkesanan vaksin terhadap jangkitan Covid-19 berkurangan seiring dengan masa.
Bukti kukuh sejak tiga minggu lalu menunjukkan vaksin penggalak meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan Omicron yang mana keputusan awal kajian ke atas 21 juta dos penggalak yang diberikan di UK menunjukkan hasil sangat meyakinkan.
Oleh itu, bagi warga emas dan orang dewasa yang sudah menerima semua jenis vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac – ia sangat disyorkan mereka menerima suntikan penggalak sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin mereka,” katanya dalam sidang media.
Keutamaan pemberian dos penggalak kepada individu yang mempunyai komorbiditi, penghuni serta petugas di pusat jagaan kesihatan jangka panjang dan individu dewasa berumur 18 tahun ke atas yang sudah menerima vaksin lengkap sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin primer.
Jelasnya lagi, pemberian dos penggalak ini dilaksanakan mengikut turutan umur bermula daripada 50 tahun ke atas, 40 tahun ke atas dan seterusnya 18 tahun ke atas.
Dalam pada itu, Khairy memberitahu, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menjalankan ujian ke atas 366 sampel kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara dari 21 hingga 25 Dis, yang mana 306 daripadanya mungkin ialah dijangkiti varian Omicron.
“IMR sedang menunggu keputusan ujian penjujukan genom keseluruhan (WGS) untuk menentukan sama ada pengembara itu benar-benar dijangkiti varian tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Malaysia menarik balik larangan perjalanan ke atas lapan negara Afrika Selatan yang mula melaporkan pengesanan varian Omicron bulan lalu.
Negara-negara tersebut ialah Botswana, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe kini dalam senarai negara berisiko tinggi.
Turut disenaraikan ialah Australia, Kanada, Denmark, Perancis, India, Nigeria, Norway, Arab Saudi, UK dan Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette