Sijil pendaftaran WCEF daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia kepada Pengasas dan Pengerusi International Strategy Institute (ISI).

KUALA LUMPUR – Kenyataan Tan Sri Lee Kim Yew berhubung World Chinese Economic Forum (WCEF 2021) adalah tidak betul sehingga menimbulkan fitnah.

Sebagai contoh, Tan Sri Michael Yeoh adalah pengerusi penganjur untuk acara WCEF yang lalu dan beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan acara WCEF di bawah badan ini iaitu acara WCEF ke-10 & ke-11.

Acara WCEF semasa ialah Edisi Khas WCEF selepas acara WCEF ke-11 yang diadakan pada 2019 di Hangzhou, China, jelas Institut Strategi Antarabangsa (ISI) yang mendakwa ia adalah penganjur sah WCEF 2021.

Katanya, forum tahunan itu dianjurkan sejak tahun 2018 di Malaysia dan mempunyai tanda dagangan berdaftar WCEF.

WCEF 2021 semasa dianjurkan bersama dengan Dewan Perniagaan Antarabangsa China (CCOIC) dan One Belt One Road Association (PMOBOR).

Oleh itu, kata ISI, pemilihan penceramah untuk WCEF 2021 dibuat oleh tiga pihak iaitu, ISI sendiri, CCOIC dan PMOBOR.

”Ini tiada kena mengena dengan Tan Sri Lee Kim Yew dalam hal ini,” katanya lagi.

Jelasnya, WCEF 2021 tidak mempunyai kaitan dengan Sidang Kemuncak Ekonomi China Sedunia atau Sidang Kemuncak Ekonomi dan Teknologi China Global.

Malah, acara ini juga tiada kaitan dengan Kim Yew.

ISI turut mengingatkan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya jika Kim Yew masih mengeluarkan kenyataan yang tidak betul dan tidak wajar mengenai forum itu.

Baru-baru ini, ahli perniagaan itu dilaporkan membuat kenyataan terbuka di laman sosialnya dengan mendakwa rasa sangat malu apabila teman-temannya bertanya sama ada dia telah menjemput bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak untuk merasmikan WCEF semalam.

Beliau menjelaskan dan menegaskan bahawa WCEF yang dianjurkan ini tidak ada kaitan dengannya.

”Pada asalnya, saya telah memulakan WCEF pada tahun 2009 dan telah diadakan pertama kalinya di the Palace of Golden Horses dengan dukungan Tan Sri Michael Yeoh untuk beberapa tahun.

”Kemudian nama forum WCEF ini telah ditukarkan kepada “World Chinese Economic Summit” (WCES) dan pada tahun ini telah ditukarkan nama kepada “Global Chinese Economic and Technology Summit” (GCET Summit).

”Pada 16 Disember 2021 lepas, kami baru sahaja selesai menganjurkan “Global Chinese Economic and Technology Summit” dengan jayanya. Ia telah diadakan di Hotel Shangri-La Rasa Sayang, Pulau Pinang. Ucaptama telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri dan majlis ini telah dirasmikan oleh TYT Yang Dipertua Pulau Pinang Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Puzi Abdul Razak.

”Kemudian saya mendapat tahu bahawa satu forum dinamakan “WCEF” akan diadakan pada 27 Disember 2021. Penganjur bukan sahaja menamakan majlis ini sebagai “WCEF”, malah menggunakan gambar-gambar WCEF kami pada tahun-tahun lalu. Ini suatu perkara amat tidak wajar. Malah mereka telah menjemput seorang bekas Perdana Menteri yang telah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan,” kata Kim Yew. – MalaysiaGazette