Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid bercakap pada sidang media berkenaan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sepanjang tahun 2021di PULAPOL, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 30 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Permintaan terhadap dadah jenis syabu menunjukkan trend peningkatan menyebabkan harganya lebih mahal berbanding ganja.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) merampas pelbagai dadah seberat 27,050.07 kilogram untuk 11 bulan pertama tahun ini dan daripada jumlah itu 7,919.75 kilogram adalah dadah jenis metaphethamine atau syabu.

Katanya, turut menunjukkan rampasan tertinggi adalah ephedrine dan bahan kimia memproses  syabu apabila 8,734.5 kilogram cecair dirampas pada tahun ini.

“Bagi rampasan dadah jenis ganja pula menunjukkan penurunan sebanyak 23 peratus apabila sebanyak 3,232.08 kilogram.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 2,140.52 kilogram dadah heroin turut dirampas, disusuli erimin 5 (2,028.45 kg), pil captogon (650 kg), ketamin (465.11 kg), pil yaba (343.80 kg) dan pil ekstasi (259.71 kg) dan kafien (283.41 kg).

“Rampasan ini berjaya dilakukan selepas JSJN menahan 119,218 individu termasuk kingpin (raja dadah) yang aktif terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di negara ini,” katanya pada sidang akhbar Pusat Latihan Polis, di sini, hari ini.

Tambah beliau, dalam tempoh sama, sebanyak 19 makmal memproses dadah berjaya dikesan dan daripada jumlah tersebut enam makmal terletak di Pulau Pinang diikuti Selangor (4), Kuala Lumpur dan Johor (masing-masing 3) dan Perak (2) dan sebuah  makmal di Kedah.

“Kesemua makmal memproses dadah ini yang disita berupaya memproses sebanyak 1.12 tan dadah jenis ekstasi, syabu dan heroin dengan keuntungan bersih bernilai RM43.5 juta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette