Abdul Halim (tengah) menunjukkan dadah dirampas pihaknya yang disorokkan dalam tiub tayar basikal kanak-kanak di Kompleks Pencegahan negeri Kastam Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya mematahkan penyeludupan dadah jenis methaphetamin bernilai RM1.82 juta yang disembunyikan dalam tayar basikal kanak-kanak untuk diseludup ke luar negara.

Taktik licik itu terbongkar selepas Unit Narkotik JKDM Pulau Pinang menyerbu sebuah syarikat kurier di Pusat Perniagaan Raja Uda, Butterworth pada 22 Disember lalu.

Pengarah Kastam negeri, Abdul Halim Ramli berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 10 kotak mengandungi basikal kanak-kanak yang memaparkan alamat pengirim di negeri ini untuk dihantar ke salah sebuah negara di Oceania.

Abdul Halim.

Kata beliau, hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan bungkusan plastik lut sinar mengandungi methaphetamin yang disorok di dalam tayar basikal kanak-kanak tersebut.

“Susulan itu, kita rampas kesemua 10 kotak untuk untuk dibawa ke Pejabat Unit Narkotik JKDM di Kampung Kastam, Bagan Jermal di sini bagi pemeriksaan menyeluruh.

“Hasil pemeriksaan kita menjumpai 104 bungkusan plastik lut sinar berisi methaphetamin seberat lebih 18 kilogram bernilai RM1.82 juta di dalam tiub tayar membabitkan 20 basikal kanak-kanak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Syabu bernilai RM1.82 juta disorok dalam tiub tayar basikal kanak-kanak.

Mengulas lanjut Abdul Halim berkata, siasatan lanjut pihaknya juga mendapati sindiket menjadikan perkhidmatan kurier sebagai modus operasi penyeludupan mereka.

“Berdasarkan siasatan, barangan itu datang dari sebuah syarikat basikal namun kita sedang mengenal pasti sama ada ia pengirim asal atau sekadar penyamaran bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan kita masih jalankan siasatan lanjut berhubung penemuan dadah ini termasuk mencari mereka yang terlibat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar Abdul Halim.

Abdul Halim menunjukkan dadah yang dirampas pihaknya.

Dalam perkembangan sama, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti penyeludupan menyalurkannya menerusi talian bebas tol kastam 1 800 88 8855. – MalaysiaGazette