KUALA LUMPUR – Walaupun tiada sebarang sambutan ambang Tahun Baharu 2022 dibenarkan malam ini namun warga kota dilihat masih berpusu-pusu memenuhi pusat bandar raya.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, kebanyakan jalan utama menuju ke lokasi tumpuan seperti Dataran Merdeka, pusat beli-belah Pavilion, Bukit Bintang serta KLCC sesak dengan kenderaan seperti biasa.
Selain itu, jalan masuk ke Dataran Merdeka ditutup di kedua-dua arah dengan dikawal anggota polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Namun masih terdapat segelintir orang awam dilihat berjalan kaki memasuki kawasan berkenaan.
Walaupun hujan renyai-renyai namun warga kota tetap keluar menghabiskan masa menjelang cuti kelepasan am esok.
Sementara itu, jalan menuju ke Bukit Bintang juga sesak hingga kira-kira dua kilometer bermula dari Jalan Pudu dengan aplikasi navigasi Waze memaparkan berlaku lebih 30 minit kelewatan.
Terdahulu media melaporkan, Polis Diraja Malaysia tidak meluluskan sebarang permit penganjuran sambutan Tahun Baharu 2022 di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, ia bagi mengelak risiko penularan Covid-19 dalam komuniti. – MalaysiaGazette