Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican diberi taklimat tentang kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menggerakkan seramai 7,527 anggota dan 438 aset ke enam negeri yang terjejas teruk akibat banjir setakat pukul 8 pagi tadi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 4,878 operasi telah dilakukan sebagai kesiapsiagaan JBPM sepanjang musim Monsun Timur Laut ketika ini.

“Tahun baharu 2022 ini, saya mulakan dengan mendapatkan taklimat dan kemas kini kesiapsiagaan pasukan bomba dan penyelamat di Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya.

“Saya turut menerima laporan mutakhir real-time daripada pengarah-pengarah bomba negeri mengenai keadaan di seluruh negara khususnya di enam negeri yang sedang mengalami banjir,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican diberi taklimat tentang kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bagi membantu mangsa banjir di enam negeri.

Dalam pada itu, JBPM juga meletakkan anggota dan asetnya dalam keadaan siap siaga di beberapa negeri yang dijangka mengalami fenomena air pasang besar mulai hari ini hingga Rabu ini.

“Kita juga dalam keadaan berjaga-jaga khususnya di Pantai Barat yang dijangka mengalami fenomena air pasang besar sehingga 5 Januari 2021.

“Grup Whatsapp saya bersama mereka tidak pernah sunyi dengan perkembangan situasi di lapangan pada setiap masa. Ia juga memudahkan arahan diberi serta-merta dan tindakan dapat dilakukan segera,” katanya.

Beliau tidak menafikan keberadaan anggota dan aset JBPM di enam negeri yang terjejas akibat banjir sebagai satu kelegaan kepada rakyat yang terkesan dengan musibah itu.

“Keberadaan Wira Merah di setiap lokasi, bagi saya merupakan relief kepada rakyat.

“Untuk itu, saya doakan pasukan Wira Merah kita terus diberi kekuatan untuk memberi khidmat kepada rakyat, di mana sahaja, pada setiap masa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast