Kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memunggah longgokan naskah al-Quran yang telah rosak akibat bencana banjir di pusat pengumpulan sebelum dilupuskan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Al-Madaniah Subang Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 30 DISEMBER 2021.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah gambaran yang boleh diberikan dengan situasi kawasan yang mengalami bencana banjir besar. Tambahan pula pasca air mula mengering, akan bergelimpangan perkakas rumah dan perabot, peralatan elektrik dan kenderaan yang disaluti dengan selut. Tidak kurang juga haiwan peliharaan seperti kucing, ayam, kambing dan ikan turut menjadi korban.

Limpahan air yang di luar daripada kebiasaan yang berlaku menyebabkan ramai yang tidak sempat untuk bertindak menyelamatkan harta benda, malah ada mereka yang menjadi mangsa lemas ditenggelami banjir. Tragedi ini menjadi pengalaman hitam buat mangsa banjir.

Ekoran banjir besar yang melanda juga, ramai mangsa yang terkandas di jalanan dan di
tingkat atas rumah serta di bumbung. Bagi mangsa yang terkandas di jalanan, pelbagai
pihak telah tampil memberi bantuan dan perlindungan seperti masjid dan surau. Manakala bagi mangsa banjir pula, ada yang sempat berpindah ke kawasan yang selamat dan tidak kurang juga yang bertahan di rumah sendiri tanpa bantuan. Mereka mengalami rasa ketakutan, kesejukan dan kelaparan.

Tragedi ini bagaikan satu kejutan dan trauma khususnya buat mangsa banjir dan pihak
terlibat. Ini kerana kita masih lagi berada dalam situasi ancaman virus COVID-19 dengan
gelombang varian Omicron. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga kerana pihak yang terjejas
dengan gelombang COVID-19 sebelum ini terpaksa berhadapan pula dengan gelombang
bah yang besar.

Sehubungan dengan itu, menjadi tanggung jawab kita bersama sebagai sebuah keluarga
Malaysia untuk bergandingan tangan dan bahu membahu dalam membantu mereka untuk menangani trauma dan kerugian mangsa banjir tanpa mengira kaum dan agama. Dalam situasi bencana besar, isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian keluarga Malaysia perlu dikurangkan seperti isu bantuan makanan dan politik kepartian. Jika kita tidak mampu menjadi minyak gamat yang menyembuhkan luka, jangan pula ditaburkan lagi garam untuk menambah luka penderitaan mangsa banjir.

Pada dasarnya, pendekatan gotong royong ini selaras dengan tuntutan agama. Dalam surah al-Ma’idah (5), ayat 2, Allah SWT telah berfirman: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada elakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Berdasarkan ayat tersebut, perintah tolong menolong sesama manusia dapat dilihat jelas dalam bentuk budaya gotong-royong oleh Keluarga Malaysia. Ia dijelmakan dengan pelbagai misi dan aktiviti kebajikan yang berbentuk kepedulian sosial terutamanya apabila berlaku bencana alam.

Solidariti dalam bersama-sama mengharungi kesenangan dan kesusahan apabila berlaku suatu bencana ini dapat dimanifestasikan dalam perumpamaan ibarat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Dengan itu, dalam situasi pasca banjir, pelbagai bantuan boleh dihulurkan sama ada berbentuk kebendaan atau bukan kebendaan. Bantuan berbentuk kebendaan termasuklah peralatan pencucian rumah seperti sarung tangan, plastik, penyapu, penyodok, pam air, bahan pencuci dan nyahkuman.

Kemudiannya selepas fasa pencucian, proses pembuangan dan pelupusan perlu dilakukan sama ada melibatkan barangan seperti perabot dan peralatan rumah yang rosak, pakaian dan buku-buku. Namun begitu, bahan seumpama al-Quran atau ayat al-Quran perlu dilupuskan dengan sebaiknya. Di samping itu, dalam misi pasca banjir, bantuan kewangan dan bantuan bahan keperluan rumah yang asas seperti pakaian, tikar, dapur memasak dan bahan makanan asas boleh disalurkan kepada mangsa banjir.

Dalam masa yang sama, bantuan berbentuk bukan kebendaan turut boleh dihulurkan seperti tenaga sukarelawan di samping sokongan emosi dan titipan doa kepada mangsa banjir bagi mengurangkan kesan trauma. Selain itu, kebajikan pihak sukarelawan juga perlu diperhatikan oleh pihak penganjur seperti keselamatan serta akses kepada makanan dan minuman. Ini kerana mereka menghulurkan bantuan tanpa sebarang bayaran.

Bahkan mereka yang terlibat dalam misi bantuan banjir ini perlu berwaspada dengan ancaman dan risiko seperti haiwan berbisa, barang yang tajam dan bakteria serta kuman berbahaya yang boleh mengakibatkan jangkitan terhadap penyakit bawaan banjir. Pendek kata, dalam aktiviti pasca banjir, banyak bantuan yang boleh disalurkan kepada pihak yang terkesan dengan banjir. Namun begitu, bantuan yang disampaikan perlu dikoordinasi dengan baik agar tidak berlaku pertindanan, lambakan dan pembaziran serta ketidak seimbangan bantuan yang dihulurkan kepada mangsa banjir.

Malahan dalam situasi ancaman COVID-19 masih lagi wujud, kita perlu menjaga SOP agar tidak berlaku penularan virus secara berleluasa semasa pasca banjir. Justeru, berdasarkan semangat gotong royong ini, setiap pihak dalam Keluarga Malaysia perlu bekerjasama dengan mengenepikan sentimen agama, kaum dan kepartian agar bencana ini dapat ditangani dengan baik dan bantuan yang diperlukan dapat disalurkan kepada mangsa banjir tanpa sebarang penipuan, karenah birokrasi, keciciran dan juga ketirisan.

OLEH: Dr. Mohd Anuar Ramli
Prof Madya, Jabatan Fiqh & Usul,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya &

Dr. Muhammad Safwan Harun
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast