Dua beradik dikenakan 17 saman berjumlah hampir RM6,000 dalam satu operasi di Melaka hari ini.

MELAKA – Padah mengubahsuai motosikal, dua beradik dikenakan 17 saman berjumlah hampir RM6,000 dalam satu operasi di sini hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Deputi Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, kedua-dua mereka berusia 22 dan 24 tahun ditahan di sebuah inap desa Batu Berendam di sini kira-kira jam 10 pagi tadi.

Menurutnya,  lapan lagi rakan mereka berusia antara 20 dan 30 tahun yang tiba ke negeri ini menunggang motosikal masing-masing dari Perak dan mengubahsuai juga ditahan  menjadikan keseluruhan 72 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan polis.

“Penahanan terhadap kesemua lelaki dibuat hasil maklumat awam mengenai bunyi bising 10 motosikal yang diubah suai terutamanya di bahagian ekzos sehingga mengganggu penduduk taman perumahan.

“Ketika serbuan semua mereka sedang bersiap untuk pulang ke Perak dan hasil siasatan, polis turut menjumpai dua plastik air dipercayai rebusan daun ketum milik salah seorang daripada mereka.

“Turut ditahan, dua beradik masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 yang telah diubah suai menyebabkan 17 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan berjumlah hampir RM10,000,” katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Bukit Beruang di sini hari ini.

Menurutnya, antara 72 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan terhadap semua 10 lelaki terbabit adalah mengubahsuai ekzos motosikal sehingga mengeluarkan bunyi bising, ubah suai struktur kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut piawaian dan tidak mempunyai cermin sisi.

Tambahnya, semua mereka disiasat di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Jelas beliau operasi membanteras penggunaan ekzos bising yang menjadi trend semasa golongan muda sehingga mengganggu ketenteraman awam akan dilakukan secara berterusan.

“Justeru, pemilik motosikal terutamanya golongan muda dinasihatkan menggunakan ekzos yang asal dan mematuhi peraturan-peraturan jalan raya.

“Motosikal yang disita dan telah diubah suai sehingga ribuan ringgit hanya akan diserahkan semula jika pemilik menggantikan semula ekzos kepada yang asal,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast