KUANTAN – Polis berjaya menumpaskan kumpulan Geng Abu Pandan yang aktif mencuri dan menjual semula komponen kenderaan sekitar daerah ini baru-baru ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed berkata, risikan dan pemantauan melalui Op Lejang mengesan sindiket yang didalangi empat sekawan warga tempatan yang mengaku mencuri enam buah kereta Proton dan dua buah lori.
“Hasil soal siasat, seorang lelaki India muslim yang ditangkap mendedahkan aktiviti jenayah tersebut dan membantu polis menahan tiga lagi rakannya pada 23 Disember tahun lalu dan seorang lelaki yang membeli kenderaan potong terbabit.
“Hasil tangkapan dan operasi, polis berjaya merampas lapan kenderaan bernilai RM35,500 dan 17 resit jualan besi kenderaan.
“Kegiatan mencuri menggunakan lori tunda milik daripada salah seorang tahanan dan menarik kenderaan ke bengkel serta kenderaan curi dileraikan dan dipotong,” katanya pada sidang media di Stor Barang Kes Berpusat di Indera Mahkota di sini hari ini.
Sidang media yang sama turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.
Kesemua tahanan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Kesesksaan kerana mencuri kenderaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta denda.
Mereka ditahan reman di bawah Seksyen 117 kanun Prosedur Jenayah sehingga 6 Januari 2022 bagi tujuan siasatan.
Tambah Ramli, selain kejayaan menumpaskan Geng Abu Pandan, pihaknya juga kini dalam usaha mengesan beberapa kes kecurian lain dan kini dalam pemerhatian pihaknya.
Untuk rekod, bagi tempoh Januari sehingga Novermber 2021, sebanyak 71 laporan kenderaan hilang dibuat dan daripada jumlah tersebut, polis berjaya menyelesaikan 37 kes bersamaan 52.11 peratus. – MalaysiaGazette