KUALA LUMPUR – Pergerakan Wirawati Putra Malaysia menyokong penuh keputusan kerajaan menamatkan khidmat anggota Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) yang berakhir di seluruh negara bermula Sabtu lalu.
Naib Ketuanya, Nurhafizah Jamalludin berkata, walaupun penamatannya setahun lebih awal berbanding penggal yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember tahun ini tetapi keputusan yang dibuat itu amat tepat.
Katanya, penamatan itu sekurang-kurangnya dapat menjimatkan duit rakyat yang sepatutnya digunakan untuk urusan lebih penting seperti membantu mangsa bencana alam seperti banjir yang berlaku sekarang.
“Negara kini berhadapan cabaran luar jangka dengan terjadinya fenomena seperti penularan wabak Covid-19 dan bencana banjir di beberapa negeri sehingga meragut nyawa dan kemusnahan harta benda.
“Eloklah jika penyaluran peruntukan kerajaan bagi tahun 2022 ini lebih tertumpu kepada sektor yang lebih kritikal dan menyeluruh untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan keadaan ini.
“Ia tidak sepatutnya dibazirkan kepada pihak tertentu demi menjaga hubungan politik peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dilaporkan berkata, kementeriannya tidak lagi menggunakan khidmat PeKT mulai 1 Januari lalu.
Kata Reezal Merican, keputusan itu dibuat disebabkan situasi negara yang berdepan dengan “situasi luar jangka”.
Menurut Nurhafizah, dalam Belanjawan 2022, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM8.57 juta kepada PeKT dan lebih baik duit itu disalurkan kepada sektor kritikal yang memelukan modal untuk membaik pulih ekonomi rakyat dan negara.
“Jangan dibazirkan wang negara untuk melindungi aktiviti atau kumpulan tertentu yang bersifat eksklusif semata-mata. Ini jelas menunjukkan salah guna kuasa dan perbuatan yang tidak bermoral jika dibiar begitu sahaja.
“Wirawati menggesa semua kementerian meneliti mana-mana juga agensi atau badan seperti PeKT yang tidak relevan dengan keperluan semasa supaya ditamatkan atau disatukan bersama dengan agensi bersesuaian bagi mengurangkan kos.
“Sesuatu inisiatif kerajaan yang diwujudkan wajib bersifat inklusif, lebih lagi jika ia dilihat sebagai alat penyaluran dana bagi menjaga kepentingan politik individu tertentu perlu dihentikan segera,” katanya.
Beliau turut memberi teguran, jangan pula KPKT seperti ‘harapkan pegar, pegar makan padi’.
Katanya, berilah khidmat terbaik kepada rakyat dalam situasi negara yang ditimpa musibah ketika ini.
“Jadilah ‘bahu’ yang boleh disandarkan oleh rakyat dalam suasana duka dan hiba ini,” katanya. – MalaysiaGazette