KUALA LUMPUR – MIDF Research menjangkakan aktiviti-aktiviti ekonomi Malaysia terus mengukuh pada tahun ini, didorong oleh pemulihan dalam penggunaan swasta serta perdagangan luar yang memberangsangkan.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, ia berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia IHS Markit yang juga petunjuk tunggal komposit bagi prestasi pembuatan, meningkat kepada 52.8 pada Disember 2021 daripada 52.3 dalam bulan sebelumnya.

“Dari segi prospek perniagaan, syarikat-syarikat juga kekal optimis dan berharap pandemik COVID-19 akan berakhir manakala kekangan rantaian bekalan akan pulih apabila lebih banyak ekonomi dapat beroperasi semula,” katanya.

MIDF Research berkata, aktiviti pembuatan Malaysia meningkat pada Disember 2021 iaitu pertumbuhan untuk bulan ketiga berturut-turut susulan pembukaan semula ekonomi selain kelonggaran sekatan pergerakan bagi membendung COVID-19.

Keadaan itu, katanya, turut mendorong kepada tempahan baharu manakala output naik pada kadar lebih pantas pada Disember lepas.

Menurutnya, peningkatan tempahan eksport baharu itu dipacu oleh pengukuhan penghantaran termasuk produk elektrikal dan elektronik serta petroleum bertapis.

“Berikutan gangguan bekalan yang berlanjutan dan harga logistik yang tinggi, harga input kekal dalam aliran meningkat yang seterusnya mendorong kenaikan kos input pada kadar paling pantas sejak April 2021,” katanya.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata unjuran pengeluaran bagi jangka masa terdekat ini berkemungkinan terjejas akibat peningkatan harga pengeluaran, kekurangan bahan mentah dan kebimbangan prestasi eksport yang perlahan susulan lonjakan kes COVID-19 di negara-negara utama dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast