Fadhil Din

SHAH ALAM – Bencana banjir yang melanda Lembah Klang baru-baru ini disifatkan yang terburuk dalam tempoh 50 tahun sejak 1971, kata Pengerusi Himpunan Muafakat dan Keluarga Komuniti Malaysia (HMKKM), Fadhil Din.

Katanya, bencana itu menyaksikan nilai kemusnahan dan saiz kerosakan yang ditanggung oleh mangsa melangkaui jangkaan.

Malah, kata beliau, sebahagian besar keluarga mangsa mengalami kemusnahan total dan terpaksa memulakan penghidupan baru.

“Kepedihan dan penderitaan mangsa yang terjejas ini perlu dibantu serta dipulihkan secara saksama demi kesinambungan hidup mereka.

“Justeru, HMKKM dengan konsep ‘rakyat bantu rakyat’ telah menzahirkan bagaimana ketika keadaan semakin genting, rakyat telah mengemblengkan tenaga, mempertaruhkan keselamatan diri masing-masing untuk membantu mereka yang sedang menghadapi ujian malapetaka banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media HMKKM memantapkan pelaksanaan dan persediaan menghadapi bencana pada masa hadapan di Dewan Masjid Al-Munawarah, Seksyen 27, dekat sini, hari ini.

Sebahagian daripada 100 wakil Muafakat Komuniti yang hadir pada sidang media HMKKM hari ini.

Fadhil yang juga Ketua Muafakat Komuniti (MK) Alam Megah berkata, kesiagaan setempat melalui kemuafakatan komuniti itu amat penting disediakan dengan penglibatan setiap lapisan masyarakat.

Kata beliau, pihaknya melihat rakyat dari seluruh pelosok negara, daripada pelbagai agama, bangsa, kerakyatan serta umur mengenepikan semua jurang perbezaan serta berganding bahu membantu mangsa yang terlibat sebelum bantuan di peringkat pusat tiba.

“Melalui pengalaman di peringkat MK, usaha ini melibatkan pelbagai pihak seperti masjid, surau, sekolah, persatuan penduduk, imam, ketua kampung, ketua persatuan penduduk, Orang Besar Daerah dan dermawan.

“Mereka telah membuktikan konsep berganding bahu dan saling bantu membantu ini dapat menyelesaikan banyak perkara secara cekap dan berkesan, apa lagi dalam suasana getir dan sukar seperti banjir.

“Program dan inisiatif HMKKM ini sudah berlangsung sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi dan telah merentas kelompok, bangsa serta agama untuk terus  membantu golongan yang ditimpa bencana,” katanya.

Beliau berkata, dengan berteraskan muafakat dan mahabbah, terbukti ia tidak hanya mengukuhkan perpaduan dan keharmonian sahaja, bahkan meliputi aspek kerohanian, kebajikan, rawatan kesihatan dan memberi pekerjaan dan tempat tinggal kepada komuniti setempat.

“Menginsafi kepada apa yang berlaku, jelaslah betapa muafakat komuniti ini amat perlu diwujudkan dalam kalangan penduduk setempat.

“Penubuhan ini amat signifikan dalam menghadapi bencana seperti banjir kerana mereka akan lebih cakna terhadap kawasan masing-masing.

“Oleh itu, kita dapat bertindak pantas menyalurkan bantuan yang diperlukan dan tindakan pantas ini juga akan mengurangkan risiko yang lebih teruk seperti kematian,” katanya.

Sementara itu, jurucakap HMKKM, Fairuz Shah Badli berkata, melalui MK, kesiagaan setempat dapat disediakan dengan penubuhan jawatankuasa khusus seperti kebajikan, sukarelawan, pendidikan, ekonomi serta Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (Community Emergency Response Team) bagi tujuan meningkatkan kerjasama sesama masyarakat dalam komuniti.

Fairuz Shah Badli

Ujar beliau, pengumuman bantuan tambahan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan sempena tahun baharu 2022 yang lalu, sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada mangsa bencana.

Keseluruhan pemberian tunai kepada mangsa banjir boleh mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah seperti Bantuan Wang Ihsan RM1,000, untuk pembelian barangan elektrik (RM500), pembaikan atau pembelian kenderaan (RM1,000), pembelian barangan keperluan (RM2,500) dan kerja pembaikan rumah (RM5,000).

Manakala dana untuk pembaikan dan pembinaan semula rumah untuk mangsa banjir ialah RM5,000 jika kerosakan tidak serius, RM15,000 bagi rumah yang mengalami kerosakan serius dan RM56,000 untuk rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan yang telah mengumumkan bantuan untuk mangsa banjir.

“Walaupun tidak dapat menampung keseluruhan jumlah kerugian, sedikit sebanyak ianya dapat membantu mereka yang dalam kesempitan hidup akibat bencana ini,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak yang terlibat dapat meningkatkan usaha untuk membantu mereka yang menjadi mangsa banjir ketika ini dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai paling utama dan menghentikan semua aktiviti yang hanya menumpu kepada agenda politik sahaja.

Fairuz juga menyarankan wujud kesepakatan komuniti setempat untuk bersama menggembleng tenaga dan usaha meningkatkan kesiagaan dan kecekapan dalam menghadapi apa jua bencana pada masa hadapan.

Katanya, kerajaan perlu membuka lebih banyak pusat permohonan bantuan dan setiap daripadanya perlu merangkumi semua bantuan yang diberikan agar memudahkan proses permohonan setempat.

Selain itu, ujar beliau, mempercepatkan bantuan baik pulih rumah atau pembinaan semula rumah yang rosak akibat bencana banjir juga perlu diambil kira.

“Kita mahu proses menyalurkan dana kepada mangsa banjir diuruskan dengan segera, cekap, tanpa karenah birokrasi, bersifat menyeluruh, tidak berdasarkan pilih kasih dan perlu telus.

“Pihak Muafakat Komuniti akan bertindak sebagai pemantau untuk memastikan semua mangsa yang terjejas akan mendapat bantuan seperti dijanjikan.

“Sekiranya ada yang tidak mendapat bantuan tersebut, tuntutan seterusnya akan dibuat oleh Muafakat Komuniti kepada pihak yang berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette