KUALA LUMPUR – Penyanyi dan peserta Gegar Vaganza 8 (GV8), Adibah Noor mengakui persembahannya menerusi lagu Berdiri Bulu Romaku nyanyian penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang pada konsert kelapan kelmarin, kurang memuaskan.
“Tiada apa yang salah dengan elemen dikir barat. Yang tersasar teruk adalah interpretasi dan cara saya menyanyi.
“Memang sampah! Saya melihat semula pun tepuk dahi kenapa saya buat macam itu,” katanya di Instagram.
Bagaimanapun, dia meluah rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk terus beraksi di konsert GV8 pada minggu seterusnya.
“Alhamdulillah, masih ada peluang buat saya. Insya-Allah.
“Terima kasih atas maklum balas, kasih sayang dan semangat yang kalian titipkan. Jumpa Ahad ini okey?” tulisnya.
Selepas konsert, Adibah menerima markah sebanyak 56.7 peratus, sekali gus berada di kedudukan ketiga terbawah.
Dia mendapat pelbagai kritikan kerana didakwa merosakkan lagu asal di mana ia tidak kena dengan vokalnya untuk elemen dikir barat.
Malah Hetty yang menjadi juri tetap naik ke atas pentas untuk menunjukkan cara nanyian betul. – MalaysiaGazette