Temubual penjual jeruk mangga Mohamad Amirul Alif Abdullah dan Aidil Hakim Masri di Saujana Impian, Kajang

KAJANG – Penjual-penjual jeruk mangga yang menjadikan persimpangan lampu isyarat sebagai ‘port’ jualan mengakui semakin sukar ‘mencari makan’.

Mereka, bukan sahaja bimbang akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis kerana menjual makanan tersebut di kawasan berisiko tetapi pada masa sama terpaksa ‘berebut’ dengan peminta sedekah oleh warga asing.

Beberapa individu penjual jeruk mangga yang ditemui MalaysiaGazette memberitahu, aktiviti meminta sedekah yang dilakukan oleh warga asing di persimpangan lampu isyarat menyebabkan kehadiran mereka untuk menjaja turut dipandang negatif oleh orang ramai.

Malah, ada dalam kalangan pemandu tiba-tiba menutup tingkap dan mengunci pintu kenderaan sejurus berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Seorang penjual jeruk mangga asam boi, Mohamad Amirul Alif Abdullah, 15, berkata, pendapatan sampingannya kini terjejas teruk ekoran kurangnya pelanggan membeli jeruk yang dijual di persimpangan lampu isyarat di Saujana Impian, di sini.

Katanya, tidak seperti dahulu apabila dia mudah untuk mendapatkan pelanggan setiap kali lampu isyarat bertukar merah.

Menurutnya, dia hanya akan meluru ke arah pelanggannya jika dipanggil dan tidak sesekali berada di atas jalan raya ketika lampu isyarat berwarna hijau.

Mohamad Amirul Alif Abdullah

“Sekarang ini susah nak dapatkan pelanggan sebab orang ramai takut nak membeli atau mungkin mereka sangka kami minta sedekah.

“Niat saya nak bantu keluarga dan cari sedikit duit poket untuk belanja sekolah nanti. Tapi, apa yang berlaku sekarang ini kami dianggap macam orang minta sedekah sedangkan kami tak buat begitu,” katanya yang kadang kala terasa hati apabila diperlakukan sedemikian oleh orang ramai.

Menurut Mohamad Amirul, dia tahu perbuatannya menjual jeruk mangga di persimpangan lampu isyarat itu merupakan satu kesalahan dan boleh membahayakan dirinya, namun semua itu dilakukan dengan berhati-hati atas alasan lokasi berkenaan mudah baginya untuk mendapatkan pelanggan.

Tambahnya, dia pernah diberitahu oleh “taukenya” untuk membuka kedai selepas pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap penjual sepertinya.

Tetapi, cadangan itu dikhuatiri tidak menyelesaikan isu, sebaliknya menambah masalah kerana mungkin tidak mendapat sambutan.

“Kalau jual cara macam ini dah tentulah memang ada yang nak membeli…tapi, kalau ada kedai mungkin susah sikit sebab pelanggan nak kena berhenti dan keluar dari kereta kalau nak beli.

”Jadi, memang tiadalah orang nak singgah semata-mata nak membeli jeruk sebab macam menyusahkan mereka,” ujarnya yang mula menjual jeruk mangga ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pandangan sama turut dikongsikan rakannya, Aidil Hakim Masri, 17, yang berkata, peminta sedekah yang menjadikan lokasi persimpangan lampu isyarat untuk meraih simpati telah memberi kesan kepada penjaja sepertinya.

Adil berkata, dia pernah disaman polis kerana menjaja jeruk di situ tapi tiada pilihan demi mencari wang bagi membantu ibu dan ayahnya.

“Sekarang ini, ada pula peminta sedekah jadikan persimpangan lampu isyarat untuk cari duit…kami ini menjual dan mereka pula meminta-minta.

Aidil Hakim Masri

“Sekarang ni memang agak susah nak habiskan stok jeruk setiap hari,” ujarnya yang  mendapat komisen hanya RM2.50 untuk sebalang jeruk mangga yang dijual dengan harga RM10.

Sebelum ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan, akan menyaman penjual jeruk mangga yang menjadikan persimpangan lampu isyarat sebagai tempat untuk menjaja.

Perbuatan itu merupakan satu kesalahan mengikut Kaedah 10a (1) Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1959 (ln 166/59) kerana jelas dinyatakan, tiada urusan jual beli dibenarkan di persimpangan jalan atau di mana-mana jalan raya.

Mengenai peminta sedekah warga asing, baru-baru ini tular di laman sosial apabila beberapa kanak-kanak dipercayai warga Rohingya bersikap kasar terhadap pemandu kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Kanak-kanak terbabit dilihat memarahi pemandu kenderaan setelah didakwa tidak memberi wang kepadanya dan kanak-kanak Rohingya itu menggesa supaya pemandu menurunkan cermin kenderaan.

Kejadian dikatakan berlaku di satu lokasi di ibu negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast