Sutha Murugan dan pasangan kekasihnya dituduh membunuh bawah seksyen 302 KK di Mahkamah Majistret Klang.

KLANG – Seorang wanita didakwa oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendera anaknya sendiri sehingga mangsa yang berusia tiga tahun meninggal dunia.

Tertuduh, Sutha Murugan, 26, dituduh melakukan perbuatan itu bersama kekasihnya, S. Davandakumar, 28,  pada jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang di sebuah rumah di Taman Sentosa pada 24 Disember lalu.

Mereka didakwa di bawah di Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK.

Kedua-dua mereka mengangguk faham sebaik sahaja kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sarulatha Paramavathar.

Namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur’ain Madihah Zulkifli.

Mahkamah Majistret kemudian menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan, pasangan kekasih ditahan selepas disyaki mendera seorang kanak-kanak hingga maut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bahawa mangsa telah dihantar ke hospital itu dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 6.20 petang pada 24 Disember lalu. – MalaysiaGazette