MELAKA – Sudahlah cinta sejenis yang cuba dijalin tidak berbalas, seorang lelaki kerugian RM117,759 selepas menjadi mangsa terbaharu sindiket penipuan African Scam pada November lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, ahli perniagaan berusia 42 tahun itu yang menyedari dirinya ditipu  membuat laporan polis pada 16 Disember lalu.

Menurutnya, mangsa mula berkenalan dan bercinta dengan suspek lelaki berusia 52 tahun melalui laman sosial Facebook pada 20 November lalu menggunakan akaun ‘David Us’.

“Selepas beberapa hari berkenalan, suspek kemudian menyatakan hasratnya menghantar hadiah kepada teman lelakinya itu sebagai tanda penghargaan berupa barang kemas dan wang tunai berjumlah AS$79,000 (RM331,049).

“Dua hari kemudian, mangsa menerima panggilan daripada syarikat kurier memberitahu terdapat bungkusan yang dihantar atas namanya namun perlu membuat bayaran bagi caj pelepasan pihak kastam untuk mengambilnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini. Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E Sudra Rajan.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata mangsa yang tertarik dengan pulangan lumayan itu kemudiannya melakukan membuat bayaran secara berperingkat ke dalam satu akaun bank tempatan milik suri rumah yang keseluruhannya berjumlah RM117,759.

“Mangsa bagaimanapun menyedari dia ditipu selepas tidak menerima bungkusan yang dijanjikan sebaliknya suspek terus memintanya membuat bayaran tambahan.

“Bertindak hasil risikan, polis berjaya menahan enam ahli sindiket warga Afrika termasuk tiga wanita berusia antara 35 hingga 50 tahun dalam dua serbuan berasingan di sebuah rumah sewa di Puchong Selangor pada 30 Disember lalu.

“Siasatan turut dibuat terhadap suri rumah berusia 50-an terbabit yang dipercayai bercinta dengan suspek utama kes dan membenarkan akaun bank miliknya digunakan untuk penipuan itu,” katanya.

Tambahnya siasatan mendapati, sindiket terbabit aktif sejak dua tahun lalu dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri.

“Kita syak, semua mereka masuk ke Malaysia secara tidak sah termasuk tidak mempunyai sebarang visa pelajar dan dipercayai aktif sejak dua tahun lalu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan namun kita percaya kumpulan ini turut terlibat dalam beberapa penipuan lain,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast