KUALA LUMPUR – Nilai penyerang kebangsaan, Safawi Rasid terus melonjak naik menjadikan dia antara tiga pemain tempatan paling bernilai selepas menamatkan kempen Piala AFF Suzuki 2020 sebagai penyerang terbanyak dengan empat gol,
Berdasarkan kemas kini terbaru yang dikeluarkan oleh lamanĀ Transfermarket, nilai pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu kini mencecah RM1.5 juta.
Ia merupakan nilai tertinggi yang pernah dicapai pemain itu sepanjang karier profesionalnya, melebihi nilai tertinggi yang pernah dicatatkannya sebelum ini pada 2019 iaitu sebanyak RM1.4 juta.
Menurut laman web berkenaan, pemain negara yang paling bernilai merupakan rakan sepasukan Safawi yang bermain di posisi pertahanan kiri, Corbin Ong yang bernilai RM1.77 juta, diikuti pemain Sabah FC baharu, Baddrol Bakhtiar yang juga bernilai RM1.5 juta.
Sejak menyertai Harimau Selatan pada 2017, Safawi melakukan 94 penampilan bersama juara Liga Super itu.
Dengan 8,392 keseluruhan minit permainan, Safawi cemerlang membantu pasukan dengan 51 jaringan dan 20 bantuan gol dalam semua perlawan bersama kelab.
Ketika menyertai JDT, nilai pasaran Safawi adalah RM354,500 dan menunjukkan peningkatan ketara sehingga tahun 2019.
Nilainya merudum kepada RM945,000 pada 2020 ketika dipinjamkan ke kelab Portugal, Portimonense, namun kembali meningkat selepas kembali bersama JDT.
Safawi pastinya tidak menyesal apabila meninggalkan Terengganu FC untuk menyarung jersi JDT kerana nilainya meningkat sebanyak RM555,000 sejak bersama Harimau Selatan. – MalaysiaGazetet